PN hadapi PRN Johor dalam keadaan cedera teruk, sukar beri saingan bermakna
Perikatan Nasional (PN) dilihat berdepan risiko mengalami kekalahan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ekoran kemelut dalaman yang masih gagal diselesaikan.
Penganalisis politik, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, PN memasuki PRN Johor dalam keadaan lemah dan cedera teruk akibat konflik sesama sendiri yang belum menunjukkan tanda pemulihan.
Beliau berpendapat keadaan itu menyukarkan PN untuk memberi saingan bermakna kepada lawan, malah membuka kemungkinan gabungan tersebut berdepan kekalahan besar.
“Walau apapun situasi, PN akan hadapi PRN Johor nanti dalam keadaan cedera teruk, agak sukar untuk mereka memberi saingan bermakna.
“Jika tiada pemulihan segera dalam tempoh terdekat, PN berisiko berputih mata dalam gelanggang Johor nanti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, terdapat tiga kemungkinan utama yang bakal berlaku dalam susunan strategi PN bagi menghadapi PRN Johor.
“Pertama, Bersatu mungkin dibenarkan bertanding mewakili PN di beberapa kerusi sekiranya berjaya mencapai persetujuan dengan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) yang kini memimpin PN, namun peluang itu dilihat amat tipis.
“Kedua, calon Pas bersama Parti Gerakan Rakyat Malaysia, MIPP (Parti Rakyat India Malaysia)
dan Reset bertanding menggunakan logo PN, manakala Bersatu terpaksa menggunakan logo sendiri.
“Ketiga, semua parti komponen termasuk Pas, Bersatu, Gerakan dan MIPP menggunakan logo masing-masing, sementara Reset pula menggunakan logo Pas,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Dr Yusri berpendapat adalah mustahil untuk kemungkinan PN lawan PN di DUN tertentu dalam PRN Johor kerana hanya calon yang menerima watikah rasmi dari gabungan itu dibenarkan menggunakan logo PN.
BACA JUGA Loke jawab siapa calon MB Johor