Kejayaan Petronas di Turkmenistan bukti keyakinan dunia terhadap Malaysia

Kejayaan Malaysia mendapat akses kepada salah satu telaga gas terbesar dunia di Turkeministan bakal memperkukuh kedudukan Malaysia dalam landskap tenaga global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan ini mencerminkan keyakinan tinggi terhadap keupayaan Malaysia serta rekod cemerlang Petronas yang telah bertapak dan beroperasi di Turkmenistan selama tiga dekad.

Lawatan rasmi dua hari beliau yang bermula 18 hingga 19 Jun itu turut menyaksikan pemeteraian pelbagai dokumen kerjasama melibatkan bidang pendidikan, latihan diplomatik, penerbangan, sains dan pembangunan modal insan.

“Saya yakin kesepakatan yang dicapai akan mengangkat hubungan Malaysia-Turkmenistan ke tahap yang lebih kukuh demi kemakmuran rakyat dan kepentingan negara,” katanya dalam hantaran di X.

Semalam, Petronas menerusi anak syarikat milik penuhnya Petronas Carigali (Turkmenistan) Sdn Bhd (PC(T)SB) telah memeterai beberapa perjanjian baharu bagi memperkukuh kerjasama strategik jangka panjang dengan negara itu.

Antara perjanjian itu adalah kerjasama dengan State Concern Turkmennebit (Turkmennebit) dan State Enterprise Hazarnebit (Hazarnebit) bagi memperkukuh kehadirannya di Laut Kaspia serta memperluas portfolio huluannya di negara itu.

BACA JUGA Ketika negara lain berebut minyak, Malaysia pula dapat akses telaga gas terbesar dunia