Rezeki besar untuk Malaysia, Petronas dapat kepercayaan urus simpanan gas terbesar dunia
Malaysia melakar satu pencapaian besar apabila Turkmenistan menyerahkan satu telaga simpanan gas terbesar di dunia milik mereka untuk diselenggara Petronas.
Kejayaan negara mendapat akses kepada medan gas kedua terbesar di dunia itu hasil perjanjian strategik yang dimeterai semasa lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu.
Apa maksudnya?
Petronas diberikan akses kepada medan gas Galkynysh yang merupakan medan gas kedua terbesar di dunia selepas South Pars di Iran dan Qatar.
Turkmenistan antara negara yang memiliki simpanan gas asli terbesar dunia dengan rizab dianggarkan melebihi 21 trilion meter padu gas asli.
Menurut poster yang dikongsikan, penyertaan Petronas dalam projek berkenaan dijangka meningkatkan rizab gas syarikat itu selain membantu menjamin bekalan tenaga untuk penjanaan elektrik, industri petrokimia dan pengeluaran LNG bagi jangka panjang.
Kerjasama itu juga dilihat berpotensi menjana pulangan besar kepada Petronas menerusi eksport gas dan LNG, sekali gus membuka peluang kepada negara memperoleh manfaat daripada dividen, cukai dan royalti.
Petronas bukan nama asing di Turkmenistan apabila syarikat tenaga negara itu telah beroperasi di negara berkenaan sejak 1996 dan melabur kira-kira RM52 bilion sepanjang tempoh tersebut.
Selain aspek tenaga, kerjasama strategik itu turut dilihat mampu mengukuhkan kedudukan Petronas di peringkat antarabangsa serta memperluaskan hubungan ekonomi antara Malaysia dan Turkmenistan.
