Berita baik untuk rakyat, diesel bersubsidi seluruh negara turun kepada RM2.10 seliter mulai Julai

Kerajaan hari ini mengumumkan penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter mulai Julai depan, khas untuk rakyat Malaysia.

Dalam kenyataan petang ini, Kementerian Kewangan memaklumkan subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak pula perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi.

Pada masa yang sama, rakyat di Sabah dan Sarawak dengan kenderaan diesel akan menikmati pengurangan harga runcit daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter.

“Penurunan harga ini akan dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang seragam di seluruh negara menggunakan mekanisme berasaskan MyKad, selaras dengan pendekatan yang telah dilaksanakan melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

“Melalui pembaharuan ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga yang sama dan cara yang sama di seluruh negara,” kata MOF.

Ketika ini, diesel masih dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak Sabah dan Sarawak, berbanding harga runcit diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia.

MOF berkata, langkah pelarasan harga diesel ini bagi memastikan subsidi kerajaan hanya sampai kepada rakyat Malaysia serta mengurangkan ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi.

Menurut kenyataan itu, perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dan harga tanpa subsidi telah mewujudkan ruang kepada ketirisan serta penyeludupan diesel bersubsidi, termasuk ke luar negara. 

“Dengan pembaharuan penyasaran subsidi diesel, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan kepada harga runcit di Semenanjung Malaysia dan dengan itu, bukan warganegara tidak lagi menikmati subsidi. 

“Pada masa yang sama, rakyat di Sabah dan Sarawak dengan kenderaan diesel akan menikmati pengurangan harga runcit daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter,” kata MOF.

Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel ini akan diumumkan oleh Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, esok (22 Jun 2026).

BACA JUGA ‘Janganlah jauh sangat heret ucapan saya…’ – Adly bidas balik Akmal Saleh