Dapat RM11.43 bilion, kenapa ada dakwa Johor dianak tirikan?
Dakwaan bahawa Johor tidak menerima pulangan setimpal daripada Kerajaan Persekutuan disifatkan tidak selari dengan rekod pelaburan dan pembangunan yang dicapai negeri itu dalam tempoh pentadbiran Kerajaan MADANI.
Naib Ketua Pemuda AMANAH, Ammar Atan, berkata Johor bukan sahaja muncul sebagai penerima pelaburan diluluskan terbesar negara pada 2025, malah terus menerima peruntukan pembangunan infrastruktur bernilai berbilion ringgit daripada Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, dakwaan bahawa kerajaan pusat hanya mengembalikan antara RM2 bilion hingga RM3 bilion kepada Johor tidak menggambarkan keseluruhan sumbangan yang disalurkan kepada negeri tersebut.
“Johor hari ini merupakan antara negeri paling pesat membangun di Malaysia. Negeri ini juga menjadi pengeksport kedua terbesar negara serta mencatat rekod pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara pada tahun 2025,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ammar berkata Kerajaan Persekutuan turut membiayai pelbagai projek strategik di Johor termasuk Sistem Transit Rapid (RTS), Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, pembinaan sekolah, hospital, jalan raya dan pelbagai kemudahan awam lain.
Katanya, angka RM2 bilion hingga RM3 bilion yang sering diperkatakan juga tidak mengambil kira kos operasi tahunan yang ditanggung kerajaan pusat seperti pembayaran gaji guru, anggota polis, tentera, petugas kesihatan dan kakitangan agensi persekutuan yang berkhidmat di Johor.
Beliau turut merujuk kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Disember 2025 yang memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM11.43 bilion bagi projek pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur awam di Johor sepanjang tahun lalu.
Selain itu, Ammar mengingatkan bahawa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sendiri pernah merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan MADANI pada 2024 selepas 510 projek pembangunan bernilai RM4.7 bilion diluluskan untuk negeri berkenaan.
Menurutnya, pencapaian tersebut membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI terhadap pembangunan Johor termasuk menerusi pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka membuka peluang ekonomi baharu kepada rakyat negeri itu.
“Jika benar timbul persoalan bahawa Johor tidak menerima pulangan yang setimpal selama ini, adalah tidak adil untuk meletakkan tanggungjawab tersebut kepada Kerajaan MADANI yang belum pun menamatkan satu penggal pentadbiran.
“Hakikatnya, parti yang memimpin Kerajaan Negeri Johor hari ini juga telah menerajui kerajaan negeri dan Persekutuan bagi sebahagian besar tempoh sejak merdeka,” katanya.
Beliau menegaskan Kerajaan MADANI akan terus komited memastikan pembangunan yang seimbang dan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan tanpa mengira negeri atau parti yang mentadbir sesebuah negeri.
BACA JUGA Ini baharu betul boleh lawan Ah Long! Adun Duyong puji pinjaman TEKUN lulus 24 jam