Diesel RM2.10 bukti Anwar dengar denyut nadi rakyat 

PKR Cabang Titiwangsa menyifatkan keputusan kerajaan menurunkan harga diesel kepada RM2.10 seliter serta melaksanakan subsidi diesel bersasar menerusi program BUDI MADANI sebagai bukti kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sentiasa mendengar suara rakyat dan akar umbi parti.

Ketua Cabangnya, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, pengumuman tersebut menunjukkan Kerajaan MADANI bukan sahaja peka terhadap cabaran kos sara hidup yang dihadapi rakyat, malah bersedia mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh peringkat akar umbi dalam merangka dasar kerajaan.

Menurut beliau, Cabang Titiwangsa sebelum ini telah mengemukakan beberapa cadangan berkaitan diesel dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang pada 12 April lalu.

“Kami menyambut baik pengumuman Perdana Menteri untuk menurunkan harga diesel kepada RM2.10 seliter dan melaksanakan mekanisme subsidi bersasar seperti BUDI MADANI untuk diesel bermula 1 Julai.

“Pelaksanaan ini membuktikan bahawa Kerajaan MADANI prihatin terhadap keluh kesah rakyat dan pada masa sama menunjukkan PKR sentiasa cakna dalam memperjuangkan nasib rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Syed Badli, mesyuarat cabang itu telah meluluskan tiga usul utama iaitu penstrukturan semula bantuan diesel, pelaksanaan subsidi diesel bersasar dan pengurangan kadar cukai jalan bagi pengguna kenderaan diesel.

Beliau berkata, kesediaan Perdana Menteri mempertimbangkan cadangan yang dibawa oleh akar umbi mencerminkan pendekatan pentadbiran yang lebih terbuka dan responsif terhadap keperluan rakyat.

“Sikap terbuka Perdana Menteri untuk mempertimbangkan cadangan kami seterusnya melaksanakan saranan ini menunjukkan bahawa beliau amat prihatin terhadap keluh kesah rakyat,” katanya.

Syed Badli turut menyifatkan langkah tersebut sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan bantuan disalurkan secara lebih bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat terus memberikan kepercayaan kepada Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar untuk meneruskan agenda reformasi dan pembangunan negara.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan harga diesel akan diturunkan kepada RM2.10 seliter menerusi pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar yang dijadual bermula pada 1 Julai depan.

BACA JUGA RENCANA | Tahfiz Negara: Jawapan tuntas kepada politik kebencian dan fitnah terhadap kerajaan MADANI