Kecewa dengan Israel, Trump mahu Syria lawan Hezbollah?
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencetuskan kontroversi baharu apabila secara terbuka meluahkan kekecewaan terhadap kemampuan Israel menangani Hezbollah di Lubnan, malah dilaporkan mencadangkan Syria mengambil peranan lebih besar dalam menentang kumpulan itu.
Dalam wawancara bersama Fox News, Trump mendakwa Israel gagal mencapai keputusan yang diharapkannya dalam berdepan Hezbollah walaupun konflik di rantau itu terus memuncak.
“Saya kecewa kerana Israel tidak dapat menghapuskan Hezbollah. Mereka tidak mampu berbuat apa-apa tanpa memusnahkan bangunan,” katanya.
Kenyataan itu dilihat luar biasa memandangkan Washington selama ini merupakan sekutu paling rapat Tel Aviv dalam isu keselamatan dan pertahanan.
Menurut laporan Fox News, Trump percaya Presiden Syria, Ahmed Shara, mungkin lebih berkesan dalam menangani Hezbollah berbanding pendekatan yang digunakan Israel ketika ini.
Beliau dilaporkan mahu memberikan “tugas” tersebut kepada Syria, walaupun tidak menjelaskan bentuk kerjasama atau tindakan yang dimaksudkan.
Cadangan itu segera menarik perhatian pemerhati politik antarabangsa kerana Syria sendiri mempunyai sejarah hubungan yang kompleks dengan Hezbollah dan Iran, selain masih berdepan pelbagai cabaran keselamatan domestik.
Dalam wawancara sama, Trump turut menegaskan bahawa tumpuan utama Washington ketika ini bukan lagi Hamas, sebaliknya Iran yang dianggapnya sebagai ancaman terbesar kepada kestabilan rantau Timur Tengah.
Beliau turut memberi amaran kepada Tehran supaya menghentikan sokongan terhadap kumpulan proksi yang beroperasi di rantau tersebut, termasuk Hezbollah di Lubnan.
“Iran mesti menghentikan segera pasukan proksinya di Lubnan daripada mencetuskan masalah.
“Jika tidak, kami akan menyerang Iran dengan lebih keras berbanding minggu lalu,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Kenyataan Trump hadir ketika ketegangan antara AS, Iran dan sekutu masing-masing semakin meningkat susulan konflik yang melibatkan beberapa negara di Timur Tengah.
Pemerhati berpendapat kenyataan terbaharu Trump menunjukkan pentadbirannya sedang mencari pendekatan baharu dalam menangani pengaruh Iran dan Hezbollah di rantau itu, meskipun cadangan melibatkan Syria dijangka mengundang pelbagai reaksi daripada komuniti antarabangsa.
Buat masa ini, belum ada reaksi rasmi daripada kerajaan Syria, Israel atau Hezbollah berhubung kenyataan tersebut.
BACA JUGA Anwar umum calon malam ini, siapa bakal jadi taruhan PH di Johor?