MA63 bergerak setapak lagi, Sarawak kini kawal selia Pelabuhan Bintulu
Penyerahan kuasa kawal selia Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan Sarawak disifatkan sebagai bukti bahawa pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mampu direalisasikan melalui kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, langkah bersejarah itu bukan sahaja mengiktiraf kedudukan Sarawak sebagai rakan pengasas Malaysia, malah mewujudkan situasi “menang-menang” kepada kedua-dua pihak.
Menurut beliau, Sarawak akan memainkan peranan lebih besar dalam mengurus aset strategiknya sendiri, manakala kerajaan persekutuan terus mendapat manfaat daripada pembangunan Pelabuhan Bintulu sebagai hab logistik, perindustrian dan tenaga hijau yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Pelaksanaan MA63 tidak seharusnya dilihat sebagai kehilangan kuasa oleh persekutuan, sebaliknya sebagai pengukuhan Persekutuan Malaysia melalui pengiktirafan terhadap hak, peranan dan potensi sebenar Sabah dan Sarawak sebagai rakan pengasas negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu menyusul majlis penyerahan cek penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Bintulu.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, dan Premier Sarawak, Datuk Abang Johari Openg.
Mustapha berkata, meskipun tuntutan berkaitan Pelabuhan Bintulu telah diperjuangkan dan dirundingkan merentasi beberapa pentadbiran terdahulu, penyelesaian dari sudut perundangan serta pelaksanaannya akhirnya berjaya dimuktamadkan di bawah kepimpinan Anwar.
Beliau berkata, komitmen kerajaan terhadap pelaksanaan MA63 turut dibuktikan menerusi kelulusan Rang Undang-Undang Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2024 oleh Dewan Rakyat pada Julai 2024.
Menurutnya, Pelabuhan Bintulu kini berkembang melangkaui peranan tradisionalnya sebagai hab eksport gas asli cecair (LNG) terbesar negara.
Katanya, pelabuhan itu sedang dibangunkan sebagai pusat logistik, perindustrian dan tenaga hijau yang dijangka memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia serta rantau Asia Pasifik.
“Perkembangan ini berpotensi menjadikan Sarawak sebagai hab utama industri hijau, tenaga bersih dan pembuatan bernilai tinggi di rantau ini,” katanya.
BACA JUGA Jamal selesai bayar RM66,600 kepada Teresa, lelongan harta dibatalkan