Anwar ingatkan MB, KM ada dua ancaman besar yang boleh jejaskan Malaysia?

Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri hari ini memperkukuh kerjasama dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global apabila Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-149 memberi tumpuan kepada langkah-langkah strategik bagi mengukuhkan daya tahan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata mesyuarat yang dipengerusikannya di Bangunan Parlimen itu meneliti pelbagai inisiatif kerajaan susulan cabaran geopolitik, khususnya konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada ekonomi dunia.

Menurut beliau, mesyuarat itu turut membincangkan tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi fenomena El Niño yang dijangka memberi impak terhadap bekalan air, sektor pertanian, keselamatan makanan serta risiko cuaca panas melampau dan jerebu.

“Penekanan turut diberikan kepada usaha memastikan setiap dasar dan inisiatif dilaksanakan secara lebih bersepadu, cekap dan berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Anwar berkata, usaha memperkukuh daya saing ekonomi negara, menarik pelaburan berkualiti dan menjamin kesejahteraan rakyat di seluruh negara turut menjadi agenda utama perbincangan.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan akan terus memperkukuh hubungan antara kedua-dua pihak.

“Insya-Allah, semangat kebersamaan dan kesepakatan yang dizahirkan menerusi mesyuarat ini akan terus memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri demi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh oleh seluruh rakyat,” katanya.

Mesyuarat berkala antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri itu dilihat penting ketika negara berdepan pelbagai cabaran luar, termasuk ketidaktentuan ekonomi global dan perubahan iklim, selain memastikan pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan MADANI dapat diselaraskan secara lebih berkesan di setiap peringkat pentadbiran.

BACA JUGA Pakar: Diplomasi Anwar buka ‘insurans tenaga’ Malaysia hingga dua dekad