Bersatu bantah keahlian PCM, dakwa mesyuarat PN semalam patut ditangguh 

Bersatu membantah cadangan menerima Parti Cinta Malaysia (PCM) sebagai anggota baharu Perikatan Nasional (PN) dan mendakwa mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu sepatutnya ditangguhkan susulan isu berkaitan dokumen yang dibangkitkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata JPPM menerusi surat bertarikh 22 Jun lalu memaklumkan bahawa beberapa dokumen yang dikemukakan Setiausaha Agung PN didapati tidak lengkap dan tidak ditandatangani.

Menurutnya, agensi itu turut meminta beberapa maklumat tambahan dikemukakan dalam tempoh tujuh hari selaras dengan Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.

“JPPM juga berhak menangguhkan pertimbangan terhadap penerimaan rekod barisan kepimpinan Majlis Tertinggi Perikatan Nasional sehingga semua perkara berbangkit diselesaikan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata wakil-wakil Bersatu telah membangkitkan perkara itu dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Tergempar PN malam tadi dan berpendirian mesyuarat tersebut perlu ditangguhkan sehingga maklum balas JPPM diperoleh dengan jelas.

“Namun, mesyuarat diteruskan juga dan ia berkemungkinan bertentangan dengan kehendak JPPM untuk memastikan segala urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan selaras dengan peruntukan Perlembagaan PN dan Akta Pertubuhan 1966,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Faizal berkata wakil Bersatu turut membantah keras desakan Pengerusi PN untuk menerima keanggotaan PCM dalam gabungan berkenaan.

Di sebalik pertikaian itu, beliau berkata pendirian Bersatu berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dipersetujui oleh Pengerusi PN, dengan calon-calon parti itu akan menggunakan logo Perikatan Nasional.

Katanya, Bersatu akan mengemukakan senarai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang akan ditandingi bagi tujuan penyediaan watikah dan surat kebenaran menggunakan simbol PN.

Perkembangan terbaharu itu memperlihatkan wujudnya perbezaan pandangan dalam kalangan pimpinan PN mengenai soal pentadbiran gabungan dan kemasukan parti baharu ketika tumpuan mula terarah kepada persiapan menghadapi PRN Johor.