Biar parti lawan parti, jangan ubah landskap demokrasi Malaysia – Mohamad Sabu

FOTO BERITA: Ucapan YB Datuk Seri Mohamad Sabu Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan sempena Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Johor ke-16 disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Pengerusi Pakatan Harapan di Padang Bukit Gambir Extreme Park, Muar Johor. 22hb Jun 2026 (Isnin)

Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan bahawa kestabilan politik yang dinikmati negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan faktor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan peningkatan keyakinan pelabur terhadap Malaysia. Beliau berkata, kestabilan tersebut perlu dipertahankan dan diperluaskan ke peringkat negeri dengan memberi mandat kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Johor ke-16 di Bukit Gambir Extreme Park, Muar, pada Isnin, Mohamad berkata pertandingan politik perlu kekal dalam kerangka demokrasi yang sihat dengan parti politik bersaing sesama parti, tanpa melibatkan pihak-pihak yang berada di luar gelanggang politik.

“Sejak merdeka, politik negara berkembang melalui pertandingan antara parti dengan parti. Biarlah kita terus mempertahankan sistem demokrasi dan Perlembagaan yang membolehkan parti-parti politik bersaing secara sihat untuk mendapatkan mandat rakyat,” katanya.

Menurut beliau, rundingan pembahagian kerusi yang melibatkan parti-parti komponen PH berjaya diselesaikan melalui semangat muafakat dan kompromi, sekali gus membuktikan kekuatan gabungan tersebut sebagai satu pasukan.
Katanya, semua calon yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan mesti dianggap sebagai calon bersama tanpa mengira parti yang diwakili.


“Apabila calon Amanah bertanding, DAP dan PKR mesti membantu. Apabila calon DAP bertanding, Amanah dan PKR mesti bekerja untuk kemenangan mereka. Begitu juga sebaliknya. Kita menang bersama sebagai satu pasukan,” katanya.


Mohamad berkata kejayaan terbesar Kerajaan Perpaduan setakat ini ialah mewujudkan kestabilan politik yang membolehkan ekonomi negara berkembang dengan lebih kukuh serta meningkatkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Beliau turut berkongsi pengalaman ketika berada di Uzbekistan baru-baru ini apabila kepimpinan negara itu menunjukkan penghormatan tinggi terhadap Perdana Menteri Malaysia, sekali gus mencerminkan peningkatan imej negara di mata dunia.
Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat supaya menolak politik perkauman dan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Saya sudah jemu dengan politik yang memperbesarkan isu perkauman. Apa yang penting ialah bagaimana kita membantu rakyat tanpa mengira kaum untuk berjaya dalam bidang ekonomi, pertanian, perniagaan dan pekerjaan,” katanya. Menurut beliau, kerajaan hari ini memberi fokus kepada pembangunan kapasiti rakyat melalui pelbagai bantuan dan program keusahawanan, termasuk dalam sektor pertanian dan industri makanan bagi meningkatkan pendapatan golongan Bumiputera serta komuniti lain.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang menurutnya telah menyalurkan peruntukan besar bagi pembangunan infrastruktur di Johor, khususnya bagi menangani isu kesesakan lalu lintas dan meningkatkan sistem pengangkutan awam. Katanya, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amat penting bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Johor memerlukan kerajaan negeri yang selari dengan Kerajaan Persekutuan supaya lebih banyak projek pembangunan dan kemudahan dapat dibawa untuk manfaat rakyat,” katanya. Mohamad berkata Pakatan Harapan yakin mampu menawarkan pentadbiran yang lebih progresif dan stabil kepada Johor, sekali gus memperkukuh kedudukan gabungan itu di peringkat nasional.

Beliau turut mengakui bahawa persaingan dengan parti-parti lain dalam PRN Johor merupakan sebahagian daripada proses demokrasi, namun menegaskan PH akan terus berkempen secara matang dan berhemah. Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru rakyat Johor memberikan sokongan kepada calon-calon Pakatan Harapan demi memastikan kesinambungan kestabilan politik dan pembangunan ekonomi yang sedang dinikmati negara.

“Kita mahu Johor menjadi titik permulaan kepada masa depan yang lebih baik. Dengan kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan kerjasama erat antara negeri dan Persekutuan, Johor mampu muncul sebagai negeri yang lebih maju dan sejahtera,” katanya.