Ketua Penerangan Bersatu cadang Samsuri buat laporan polis
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz mencadangkan agar Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membuat laporan polis ekoran penyiaran satu kenyataan yang kemudiannya dikatakan fake (palsu).
Dalam satu kenyataannya, Tun Faisal berkata, malam tadi tular satu kenyataan media daripada Perikatan Nasional (PN) yang dihantar menggunakan akaun Facebook Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Disebut di dalamnya bahawa PN tidak akan menyertai Pilihan Raya Negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Tidak berapa lama selepas itu, hantaran mengenai kenyataan media tersebut hilang dan digantikan dengan hantaran yang baru kenyataan media Dr Ahmad Samsuri mengenai keputusan-keputusan Mesyuarat Tergempar MT PN.
“Kali ini kandungannya berbeza tanpa butiran – “PN tidak akan menyertai Pilihan Raya Negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka”
“Tidak semena-mena selepas itu laman facebook rasmi Perikatan Nasional mengeluarkan hantaran bahawa kenyataan media yang viral sebelum ini sebagai ‘FAKE’ atau PALSU.
“Sedangkan sudah ada beberapa orang saksi yang kata mereka memperolehi kenyataan media tersebut daripada page Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Malah mereka telah menangkap layar hantaran tersebut,” kata beliau dalam kenyataan di facebook.

Tun Faisal bertanya, “adakah ini bermaksud page Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ini telah digodam? Kalau digodam oleh pihak luar, maka AMAT WAJAR bagi Pengerusi PN membuat laporan polis agar pelakunya dapat ditangkap segera dan dijatuhi hukuman.”
Menurut Tun Faisal, ‘blue tick’ yang ada membawa maksud akaun facebook yang menyiarkan hantaran ini adalah akaun facebook yang asli.
Lagipun, katanya, laman facebook Penerangan Pas Kawasan Rompin yang telah menyiarkan lampiran kenyataan media yang sama dengan yang dilabel sebagai PALSU itu.
“Takkan lah Pas menipu kan…?” kata beliau menyindir.
“Mungkin sebaiknya esok (hari ini) Pengerusi PN segera membuat laporan polis agar pihak polis dapat menyiasat dan menentukan samada hantaran do laman Facebook Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar itu asli atau telah digodam?” katanya.
BACA JUGA Mesyuarat PN putus tidak sertai PRN Johor, NS dan Melaka, dakwa Dr Marzuki