Lagi kes dadah di Kelantan terbongkar, pil yaba bernilai lebih RM10,000 dirampas
Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai memiliki 1,070 pil yaba bernilai RM10,700 dalam pemeriksaan jalan raya di Jalan Kampung Paloh Bukit Panau, Tanah Merah, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah, suspek ditahan anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Unit Kereta Peronda Polis (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah.
Katanya, pemeriksaan terhadap kenderaan dinaiki suspek di bahagian tempat letak kaki penumpang hadapan sebelah kiri menemukan sebuah beg putih bertali yang mengandungi beberapa paket plastik berseal berisi pil disyaki dadah jenis yaba mengandungi methamphetamine.
Mohd Haki berkata, pemeriksaan lanjut menemukan satu bungkusan plastik lutsinar berisi air ketum yang disyaki mengandungi bahan mitragynine dengan isipadu kira-kira 500 mililiter di bahagian tempat letak kaki penumpang belakang sebelah kiri.
Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati keseluruhan rampasan melibatkan 1,058 biji pil yaba berwarna merah dan 12 biji pil berwarna hijau dengan anggaran berat keseluruhan 107 gram.
Kereta Perodua Axia yang digunakan suspek turut dirampas polis selain dadah dan air ketum.
BACA JUGA PRN tentukan hala tuju masa depan Johor