Pakatan Harapan yakin mampu jadikan Johor negeri verpendapatan tinggi

FOTO BERITA: Ucapan YAB Amiruddin Shari Pengarah Program Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Johor ke-16 disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Pengerusi Pakatan Harapan di Padang Bukit Gambir Extreme Park, Muar Johor. 22hb Jun 2026 (Isnin)

Pakatan Harapan (PH) yakin mampu membawa Johor ke tahap pembangunan yang lebih tinggi dan menjadikannya negeri berpendapatan tinggi sekiranya diberi mandat untuk mentadbir selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16. Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan, Amiruddin Shari berkata, gabungan itu tidak hadir sekadar untuk bertanding, sebaliknya membawa visi dan pelan pembangunan yang terbukti berjaya dilaksanakan di negeri-negeri yang ditadbir PH.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Johor ke-16 yang disempurnakan oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim di Bukit Gambir Extreme Park, Muar, Johor, pada Isnin. Menurut Amiruddin, Johor mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai antara negeri paling maju di negara ini berdasarkan kedudukan strategik, jumlah penduduk dan hubungan ekonomi yang kukuh dengan Singapura.

“Pakatan Harapan datang dengan keyakinan bahawa Johor boleh menjadi sebuah negeri yang jauh lebih baik. Kita bukan datang untuk menumpang atau mengganggu, tetapi membawa penyelesaian dan formula pembangunan yang telah terbukti berjaya,” katanya. Beliau menjelaskan bahawa pengalaman pentadbiran PH di Selangor membuktikan kemampuan gabungan itu meningkatkan hasil negeri, menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat.

Katanya, Selangor kini mencatatkan nilai ekonomi tertinggi di Malaysia dengan sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala Johor masih mempunyai ruang yang luas untuk diperkasakan melalui reformasi ekonomi dan tadbir urus yang lebih cekap. Amiruddin turut menegaskan bahawa pembangunan Johor perlu dilaksanakan secara lebih seimbang dan tidak tertumpu hanya di Johor Bahru atau kawasan tertentu sahaja.

“Daerah-daerah seperti Tangkak, Segamat, Kota Tinggi, Mersing dan Pontian juga mesti menikmati limpahan pembangunan, peluang pekerjaan dan kemudahan infrastruktur yang setara,” katanya. Beliau berkata, antara fokus utama PH adalah mengurangkan jurang pendapatan antara daerah, meningkatkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta mengurangkan kadar kemiskinan mutlak dan relatif di negeri itu.

Menurutnya, kejayaan Selangor menurunkan kadar kemiskinan kepada kurang satu peratus membuktikan dasar yang berfokus kepada kebajikan rakyat mampu memberi impak besar terhadap taraf hidup masyarakat. Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri yang ditadbir PH juga akan memperluaskan program bantuan kos sara hidup seperti jualan barangan keperluan rakyat bagi membantu mengurangkan tekanan inflasi yang dihadapi penduduk.

Amiruddin berkata manifesto PH yang sedang dimuktamadkan akan mengandungi pelbagai inisiatif realistik dan boleh dilaksanakan berdasarkan pengalaman pentadbiran gabungan itu di peringkat negeri dan Persekutuan. Mengangkat tema “Johor Ke Hadapan”, beliau menyeru rakyat Johor memberi peluang kepada PH untuk membuktikan kemampuan mentadbir negeri dan membawa perubahan yang lebih menyeluruh.

“Kita datang bukan sekadar bertanding, tetapi dengan keyakinan untuk mentadbir. Jika diberikan mandat, kita mahu menjadikan Johor sebagai permata di selatan tanah air yang mampu menawarkan pekerjaan lebih baik, gaji lebih tinggi dan pembangunan yang lebih adil untuk semua rakyat,” katanya.