PH pertaruh 56 calon, Saifuddin Nasution seru pengundi Johor keluar mengundi

FOTO BERITA: Ucapan YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail Ketua Setiausaha Pakatan Harapan sempena Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Johor ke-16 disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Pengerusi Pakatan Harapan di Padang Bukit Gambir Extreme Park, Muar Johor. 22hb Jun 2026 (Isnin)

Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, sekali gus menandakan kesediaan gabungan itu untuk mengambil alih pentadbiran negeri tersebut. Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PH telah berjaya menyelesaikan dua perkara utama sebelum pengumuman calon dibuat iaitu rundingan pembahagian kerusi dan pemilihan calon yang bakal mewakili gabungan itu dalam pilihan raya kali ini.

Berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Johor ke-16 di Bukit Gambir Extreme Park di sini pada Isnin, beliau menyifatkan momentum sokongan rakyat terhadap PH semakin meningkat berdasarkan sambutan yang diterima sepanjang siri program dan pertemuan dengan rakyat. Menurut beliau, keputusan PRN Johor 2022 yang menyaksikan PH hanya memenangi 12 kerusi tidak menggambarkan kekuatan sebenar gabungan itu kerana kadar keluar mengundi ketika itu berada pada tahap yang rendah.

“Apabila berlangsung Pilihan Raya Umum selepas itu, keputusan di peringkat Parlimen menunjukkan peningkatan ketara sokongan kepada Pakatan Harapan. Jika diterjemahkan kepada kerusi DUN, PH mampu menguasai 34 kerusi berbanding hanya 12 kerusi yang dimenangi pada PRN lalu,” katanya. Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa cabaran terbesar jentera PH sepanjang tempoh berkempen adalah memastikan seramai mungkin pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.

Saifuddin turut mengingatkan seluruh jentera daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Amanah supaya bekerja sebagai satu pasukan tanpa mengira parti yang mewakili calon di sesuatu kawasan. “Kemenangan calon DAP mesti dianggap kemenangan PKR dan Amanah. Begitu juga jika calon PKR atau Amanah menang, ia adalah kemenangan bersama Pakatan Harapan,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut menolak dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengabaikan Johor dari segi peruntukan pembangunan. Menurutnya, semakan yang dibuat menunjukkan Johor menerima peruntukan sebanyak RM14.6 bilion di bawah pentadbiran Anwar, berbanding RM10.2 bilion sebelum beliau menjadi Perdana Menteri pada November 2022.

“Kalau ada pihak mengatakan Johor tidak mendapat layanan sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan, kita jawab dengan fakta dan angka. Johor menerima peruntukan yang lebih besar berbanding sebelum ini,” katanya. Beliau juga mempertahankan rekod Kerajaan Perpaduan dalam melaksanakan projek pembangunan strategik seperti Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura yang dijangka mula beroperasi pada penghujung tahun ini.

Katanya, projek tersebut telah diumumkan sejak era pentadbiran terdahulu, namun hanya berjaya dipercepatkan dan direalisasikan di bawah kepimpinan Perdana Menteri sekarang. “Kalau ada yang kata kerajaan hari ini melambatkan pembangunan, lihat sahaja projek RTS. Ia diumumkan bertahun-tahun lalu tetapi berjaya diselesaikan dan dilaksanakan di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Saifuddin turut menggesa jentera dan penyokong PH supaya memperbanyakkan usaha penerangan kepada rakyat melalui kempen bersemuka, media sosial dan ceramah kelompok dengan berasaskan fakta serta pencapaian kerajaan. Beliau berkata pendekatan tersebut lebih berkesan berbanding politik fitnah atau serangan peribadi, sekali gus membolehkan rakyat membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru rakyat Johor untuk bersama-sama menjayakan aspirasi “Johor Ke Depan, Undi Harapan” dengan memberikan mandat kepada Pakatan Harapan pada PRN kali ini. “Johor Ke Depan, Undi Harapan. Dengan sokongan rakyat, kita yakin mampu membentuk kerajaan negeri yang baharu dan membawa masa depan yang lebih baik untuk Johor,” katanya.