PH tampil 12 calon wanita di Johor, ini sebab pentingnya kehadiran lebih ramai kaum Hawa
Penyertaan wanita dalam politik Malaysia masih perlu diperkasakan meskipun Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah positif dengan mempertaruhkan 12 calon wanita daripada keseluruhan 56 calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Naib Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AMANAH) Nasional, Dr Hafidzah Mustakim berkata, perkembangan itu merupakan petanda baik ke arah meningkatkan penglibatan wanita dalam arena politik dan proses membuat keputusan di negara ini.
Menurut Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Kelantan itu, daripada jumlah tersebut, dua calon wanita datang dari AMANAH, sekali gus menunjukkan usaha berterusan untuk memberi lebih banyak ruang kepada kepimpinan wanita.

Bagaimanapun katanya, perjalanan untuk mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita dalam institusi politik masih jauh.
Ini memandangkan, katanya sejak merdeka, jumlah perwakilan wanita di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri secara keseluruhan tidak pernah melepasi 15 peratus.
Suara wanita
Dr Hafidzah berkata keadaan itu menunjukkan suara wanita masih belum diwakili secara seimbang walaupun golongan tersebut membentuk hampir separuh daripada keseluruhan penduduk negara.
“Kehadiran lebih ramai wanita dalam dewan bukan sekadar soal angka. Ia penting bagi memastikan dasar dan keputusan negara mengambil kira perspektif yang lebih menyeluruh, khususnya berkaitan keluarga, pendidikan, kesihatan, kebajikan, keselamatan komuniti dan pembangunan masyarakat.
“Saya memahami cabaran yang dihadapi parti-parti politik untuk mencari keseimbangan antara meletakkan calon yang paling berpotensi menang dan usaha meningkatkan penyertaan wanita.
“Namun, kedua-dua matlamat ini tidak seharusnya dilihat sebagai bercanggah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah beliau, lebih ramai wanita berkelayakan perlu diberikan peluang, dibimbing dan diketengahkan sebagai pemimpin masa depan demi membina demokrasi yang lebih matang, seimbang dan inklusif.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua AWAN Negeri Kelantan berharap parti-parti lain yang bakal mengumumkan calon bagi PRN Johor turut mengambil langkah lebih berani dengan menambah bilangan calon wanita.
“Demokrasi yang matang memerlukan penyertaan yang lebih seimbang dan inklusif.
“Apabila wanita diberi ruang untuk memimpin, yang mendapat manfaat bukan wanita semata-mata, tetapi seluruh masyarakat,” kata Dr Hafidzah yang juga ADUN Kota Lama itu lagi.
BACA JUGA Apa dah jadi, kenapa Samsuri muat naik dua kenyataan bercanggah malam tadi?