Rakyat Johor perlukan kerajaan negeri sehaluan Putrajaya demi limpahan ekonomi, projek mega

Rakyat Johor diseru memastikan kerajaan negeri yang dipilih dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan bagi menjamin kesinambungan pembangunan serta manfaat ekonomi yang sedang rancak dinikmati negeri itu.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Faiz Fadzil berkata, kejayaan pelaksanaan pelbagai projek mega di Johor ketika ini adalah hasil komitmen Kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar Ibrahim menerusi Kerajaan MADANI yang terus memberi fokus terhadap pembangunan negeri berkenaan.

Menurutnya, tiga projek utama iaitu Landasan Berkembar Elektrik Johor Bahru-Gemas, Perkhidmatan Shuttle Selatan dan Johor Bahru–Singapore Rapid Transit System Link (RTS Link) sahaja melibatkan kos pembangunan mencecah RM15 bilion.

Katanya, ini belum termasuk projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) yang telah diluluskan kerajaan dengan anggaran kos sekitar RM10 bilion.

“Semua projek ini sangat penting kerana pembangunan pesat di Johor akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, peluang perniagaan khususnya kepada sektor kecil dan sederhana serta membantu meningkatkan taraf hidup rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup.

“Bukan mendabik dada, tetapi manfaat harga barang yang murah hari ini berbanding ketika pentadbiran kerajaan lalu yang dinikmati rakyat seluruh negara termasuk Johor adalah hasil pengurusan ekonomi yang baik oleh Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pengaturan hidup

Faiz menegaskan sebagai rakyat Malaysia, pengaturan hidup di negara ini dipandu oleh Perlembagaan Persekutuan yang mengikat semua pihak.

“Kita harus memahami dan menghormati Perkara-perkara yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan selaras dengan prinsip ketiga Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan.

“Justeru, kuasa Persekutuan dan negeri telah dibahagi secara adil sejak merdeka sepertimana yang termaktub di dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Hasil yang diperolehi dari negeri-negeri di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan akan disumbang semula oleh Persekutuan kepada negeri termasuk Johor melalui projek pembangunan dan infrastruktur.

“Justeru, membina hubungan yang baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Johor sangat penting selaras prinsip federalisme yang diamalkan di Malaysia,” kata beliau.

Beliau berpendapat projek-projek mega yang diuruskan dengan berhemah oleh Kerajaan Persekutuan membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjalankan tugas dengan baik dalam memastikan pembangunan di Johor terus berkembang pesat.

Oleh sebab itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang berkenaan berkata, pembangunan berterusan di Johor amat penting.

“Rakyat Johor perlu pastikan parti pemerintah di Johor adalah seiring dengan parti pemerintah di Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kepentingan hubungan baik Persekutuan-Negeri ini amat penting bagi kemajuan sesebuah negeri,” ujarnya.

Sebagai contoh, jelasnya, Pulau Pinang yang diperintah Pakatan Harapan (PH) membuktikan status negeri itu sebagai enjin ekonomi Malaysia apabila mencapai prestasi perdagangan paling cemerlang tahun lalu.

Tambahnya, data Jabatan Perangkaan terbaharu menunjukkan Pulau Pinang kekal sebagai penyumbang terbesar kepada eksport negara dengan menyumbang RM611.3 bilion atau 38 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia.

Prestasi perdagangan

Sehubungan itu, kata Faiz, prestasi perdagangan yang cemerlang adalah bukti tambahan kejayaan pimpinan PH.

“Sebelum ini, telah dilaporkan bahawa Pulau Pinang mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM32.9 bilion bagi tahun 2025.

“Dengan lonjakan jumlah pelaburan diluluskan ini, dijangka mampu mencipta 28,570 peluang pekerjaan,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, data rasmi menunjukkan Johor telah menerima pelaburan diluluskan sebanyak RM110 bilion untuk 2025 iaitu tertinggi di Malaysia dengan potensi pekerjaan baharu sebanyak 24,584.

“Peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Johor bagi tahun 2022 meningkat daripada RM10.2 bilion kepada RM14.6 bilion bagi tahun 2026 berbanding Pulau Pinang sebanyak RM5 bilion bagi tahun 2022 meningkat kepada RM7.8 bilion bagi tahun 2026.

“Oleh itu, prestasi cemerlang Pakatan Harapan mentadbir negara tanpa mendiskriminasi mana-mana negeri harus dinilai sebaiknya oleh rakyat Johor demi pembangunan ekonomi dan kesejahteraan hidup.

“Sebagai Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya membuktikan kemampuan Pakatan Harapan memerintah, menguruskan ekonomi dan mengekalkan kestabilan dalam negara,” kata Faiz lagi.

BACA JUGA Di sebalik isu Johor ‘bocor’, rupanya ada percaturan politik yang ramai terlepas pandang