Sharon Teo sah calon PH di Permas, wanita muda AMANAH ini sedia galas amanah rakyat Johor
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Permas, Sharon Teo menyatakan kesediaannya untuk menggalas amanah besar mewakili rakyat kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung bulan depan.
Ketua Wanita Muda AMANAH Nasional (Warda) Johor itu berkata, beliau menerima pencalonan tersebut dengan penuh rasa syukur dan rendah hati selepas diberikan kepercayaan untuk bertanding mewakili PH di kerusi N43 Permas.

Beliau yang juga Naib Ketua Warda Nasional juga berkata, amanah berkenaan bukan sahaja satu penghormatan besar, malah tanggungjawab penting untuk membawa suara dan aspirasi rakyat Permas ke peringkat yang lebih baik.
Sharon turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk mewakili gabungan itu pada PRN kali ini.
“Terima kasih juga kepada seluruh kepimpinan Parti Amanah Negara, khususnya AMANAH Negeri Johor, atas keyakinan dan peluang yang diberikan kepada saya untuk membawa aspirasi rakyat Permas.
“Terima kasih juga kepada semua pimpinan, jentera, sukarelawan, serta rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan dan semangat .
“Kini tiba masanya untuk kita melangkah bersama. Saya memohon sokongan dan doa yang baik daripada seluruh warga Permas,” kata beliau lagi.
Malam tadi, Sharon atau nama sebenarnya Teo Siew Hui serta 55 calon PH lain diumumkan Perdana Menteri sebagai calon bertanding pada PRN Johor bulan depan.
BACA JUGA PRN tentukan hala tuju masa depan Johor