Harga minyak turun lagi esok, diesel jatuh 30 sen dan RON95 jadi RM3.47 seliter

Harga minyak turun lagi esok apabila harga runcit diesel di Semenanjung turun 30 sen kepada RM4.07 seliter.

Bagi tempoh esok hingga 30 Jun juga, harga petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi, masing-masing turun 25 sen kepada RM4.10 dan RM3.47 seliter.

Penurunan harga runcit petrol dan diesel itu selaras dengan pergerakan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), bagi harga petroleum bersubsidi, harga RON95 di bawah program BUDI95 dikekalkan pada RM1.99 seliter bagi lebih 14 juta penerima yang layak, manakala harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15 seliter.

Sementara itu, harga di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dikekalkan pada RM2.05 seliter, manakala Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) tidak berubah, iaitu RM2.15 seliter.

Kenyataan MOF hari ini juga menyatakan, kerajaan akan melaksanakan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) mulai 1 Julai ini bagi menyeragamkan pelaksanaan subsidi diesel di seluruh negara.

Menerusi mekanisme tersebut, pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak akan menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menggunakan MyKad.

Dalam masa sama, subsidi diesel bagi sektor strategik dan kritikal seperti nelayan, petani kecil, sektor komoditi dan pengangkutan awam darat terus dikekalkan.

“Bagi mengimbangi kos sara hidup rakyat dan keperluan perbelanjaan fiskal secara berhemat, kerajaan akan terus mengambil pendekatan berhemat bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” menurut kenyataan MOF lagi.

Lebih positif

Kerajaan juga memaklumkan bahawa penurunan itu mencerminkan perkembangan pasaran minyak global yang lebih menggalakkan, susulan penyederhanaan harga minyak mentah global dan perkembangan lebih positif dalam konflik di Asia Barat.

Namun begitu, MOF menyatakan pasaran petroleum global masih berdepan dengan ketidaktentuan dalam jangka sederhana.

Ia termasuk risiko rundingan damai tidak mencapai penyelesaian muktamad, pemulihan rantaian bekalan yang mengambil masa, serta tahap inventori dan kos logistik yang masih belum kembali sepenuhnya kepada paras prakonflik.

Susulan itu, MOF berkata, kerajaan terus komited untuk melindungi rakyat daripada turun naik harga pasaran melalui subsidi bersasar, di samping memperkukuh keterjaminan bekalan jangka panjang melalui kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa termasuk Turkmenistan dan Russia.

Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, menurut MOF, kerajaan menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.

“Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi,” menurut kenyataan MOF lagi.