Berita baik untuk KRT, geran tahunan naik hampir dua kali ganda 

Geran tahunan bagi setiap Kawasan Rukun Tetangga (KRT) akan dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 mulai Januari tahun depan, peningkatan pertama selepas kadar itu kekal selama sedekad.

Kenaikan hampir 67 peratus itu diumumkan kerajaan selepas mengambil kira peranan KRT dalam memperkukuh perpaduan masyarakat dan menggerakkan pelbagai aktiviti komuniti di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan bersetuju menambah peruntukan tersebut selepas melihat keperluan semasa dan sumbangan besar yang dimainkan oleh KRT.

“Untuk KRT ini, dalam 10 tahun lalu hanya diberi RM6,000. Tapi kali ini saya bersetuju menambah peruntukan,” katanya ketika berucap pada sesi ramah mesra bersama KRT peringkat Johor di Dataran Segamat.

Bagi membolehkan peruntukan disalurkan seawal Januari tahun depan, beliau meminta semua KRT mengemukakan laporan kewangan dan aktiviti masing-masing dalam tempoh satu atau dua bulan.

Menurut Anwar, ketika ini terdapat 8,615 KRT di seluruh negara yang melibatkan kira-kira 250,000 anggota, dengan hampir 100,000 aktiviti komuniti dilaksanakan sepanjang tahun lalu.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan bantuan kepada institusi pendidikan Islam, termasuk Sekolah Agama Rakyat (SAR), maahad tahfiz dan pondok pengajian.

Anwar berkata kerajaan telah memutuskan untuk menyambung semula bantuan kepada SAR yang dihentikan pada 2003.

“Kita buat keputusan pada 2023 untuk mengembalikan peruntukan yang dihentikan sejak 20 tahun lalu. Itupun ada orang kata saya tidak mendukung Islam, ini semua tidak betul,” katanya.

Menurut beliau, bantuan tersebut disalurkan selepas kerajaan mendapati banyak institusi pendidikan Islam berdepan masalah kemudahan yang daif, termasuk tandas yang tidak sempurna dan asrama yang tidak selamat.

Bagi Johor sahaja, sebanyak 16 projek melibatkan institusi pendidikan Islam telah diluluskan dengan peruntukan berjumlah RM3.205 juta.

“Kita bantu SAR dan institusi pendidikan Islam di seluruh negara kerana pendidikan dan kebajikan pelajar perlu diberikan perhatian,” katanya.

Pengumuman itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh institusi kemasyarakatan dan pendidikan Islam menerusi penambahan peruntukan yang disasarkan terus kepada komuniti dan rakyat.

BACA JUGA Fadhlina berang jadi mangsa video jijik AI, ada cubaan hancurkan maruah