‘Buat macam tu supaya naratif nampak seolah-olah digari’?, aksi Adun Pas ini undang perdebatan

Aksi wakil rakyat Pas, Dr Haim Hilman Abdullah ketika dihadap ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini mengundang perdebatan netizen sama ada digari atau tidak.

Gambar yang dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu di Facebook memaparkan dia sedang berjalan dengan kedua-dua tangannya di hadapan dan ditutupi kot sambil diiringi dua anggota polis.

Menjengah ke ruangan komentar, pengguna media sosial melontarkan pelbagai pendapat sama ada Exco Kerajaan Kedah bagi portfolio Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Teknologi dan Inovasi itu bergari atau tidak.

Bagi yang menganggap Haim Hilman digari, mereka yang dipercayai penyokong pembangkang mengecam kerajaan Persekutuan termasuk tergamak mengeluarkan kata-kata kesat.

Sementara itu, pihak yang berpendapat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berkenaan tidak digari menyifatkan keadaan tersebut sekadar ‘wayang’.

Rata-rata berpendapat Haim Hilman yang juga bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu sebagai membina persepsi atau mencipta naratif.

“Wayang kuat.

“Berlakon eh bergari nak cipta naratif,” demikian antara komentar netizen.

Tidak kurang juga ada yang berharap Haim Hilman tampil memberi penjelasan.

“Sekiranya beliau (Haim) digari, memang tak patut, tapi jika beliau tak digari tetapi menutup tangan untuk membina persepsi, beliau memang ‘ahli politik’ yang bijak mengambil peluang emas. Walaupun begitu kita harap beliau menjawab dengan jujur persoalan kita ini,” kata Lukman Moidin.

Sementara itu, Haim Hilman dalam kenyataannya antara lain menyebut dia bersedia dengan sebarang tindakan termasuk menggarinya.

“Silakan lakukan apa sahaja, termasuk menggari saya, selagi kalian masih berkuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook petang ini.

Terdahulu, Haim, 53, dituduh menimbulkan kebimbangan orang awam menerusi kenyataannya berkaitan kemasukan ke universiti awam dalam ceramah baru-baru ini.

Antara kenyataan yang dikeluarkan adalah:

“Apa berlaku di IPTA hari ini? Universiti sedang menjual tempat-tempat untuk anak-anak kita kepada orang ada duit.

“Hari ini ada satu pintu masuk kat IPTA, pintu belakang, UPU dia tak layak, UPU dia tak sampai tahap ikut merit dia kalah. Tapi ayah dia orang kaya, keluarga dia ada duit”.

“Bukan salah ibu ayah yang ada kemampuan, salah kerajaan tidak menambah tempat di universiti. Dah tahu orang makin ramai pandai, jumlah di fakulti tidak ditambah. Inilah bala yang sedang melanda negara kita.”

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan antara jam 8 malam hingga 12 tengah malam di Markas Pas Seremban pada 13 Jun 2026.

Haim dituduh mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas pertuduhan dibacakan.

BACA JUGA Isham Jalil bakal masuk Pas? Terharu nama diangkat tanding di dua Parlimen ini