Ketua Penerangan mengaku Pas Lebai Malang
Selepas dinukilkan sebagai Lebai Malang oleh pemimpin Bersatu, Ketua Penerangan Fadli Shaari mengaku Pas adalah Lebai Malang.
Namun bagi Fadli, walaupun Pas Lebai Malang tetapi ada orang jemput pergi kenduri berbanding Bersatu.
Dalam satu hantaran di media sosial, Fadli bagaimanapun menyifatkan keadaan Pas itu masih lebih baik berbanding pihak yang didakwanya mengkhianati rakan sendiri.
“Lebai Malang paling kurang diajak pergi kenduri. Tapi kalau kaki khianat, kenduri orang tidak diajak, kawan pun ditikam belakang.
“Jangankan kenduri, melintas depan rumah disumpah orang,” katanya.
Kenyataan itu dipercayai sebagai sindiran balas terhadap pihak dalam Bersatu yang sebelum ini melabelkan Pas sebagai “Lebai Malang” susulan perkembangan politik dalam pembangkang.
Walaupun mengakui Pas diibaratkan sebagai “Lebai Malang”, Fadli menegaskan parti itu sekurang-kurangnya masih mempunyai sahabat dan diterima masyarakat.
Kenyataan tersebut turut memberi gambaran hubungan antara Pas dan Bersatu dalam blok pembangkang masih belum pulih sepenuhnya selepas beberapa siri pertikaian serta perbezaan pendirian yang tercetus sejak kebelakangan ini.
Pertikaman lidah antara kedua-dua parti itu dilihat semakin terbuka apabila pemimpin masing-masing mula menggunakan sindiran dan kiasan bagi menyerang antara satu sama lain di media sosial.
Setakat ini, tiada kenyataan balas rasmi daripada pimpinan Bersatu berhubung sindiran terbaharu yang dibuat oleh Ketua Penerangan Pas itu.
BACA JUGA PH tampil dengan kekuatan penuh, BN pula buat pengumuman dalam suasana janggal