Salahkah saya cadangkan anak sebagai calon? Kenapa jadi isu? – Puad balas Asyraf
Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi tampil membalas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang mendakwa beliau keluar daripada Umno kerana anaknya tidak tercalon untuk bertanding dalam pilihan raya.
Puad dalam kenyataannya berkata, tindakannya keluar parti bukan semata-mata kerana anaknya tidak dipilih menjadi calon.
Sebaliknya beliau membantah sistem pemilihan calon yang dianggap hanya mementingkan kroni.
Beliau juga mempersoal, apa yang salah dari tindakannya mencadangkan anaknya sendiri sebagai calon, sedangkan anak perempuan Ketua Bahagian Ledang boleh bertanding di Serom.
“Mengenai anak saya, salahkah kalau saya mencadangkannya? Kenapa itu jadi isu?
“Kalau tidak boleh, kenapa anak perempuan Ketua Bahagian Ledang boleh bertanding di Serom.
“Tidak salah mencadangkan anak yang terlatih sebagai calon. Ali melatih anak perempuannya menjadi peninju. Sudah tentu anak itu dibawa masuk gelanggang setelah dia cukup bersedia untuk bertempur,” katanya di Facebook.
Beliau turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap proses pemilihan calon Umno yang didakwanya mengetepikan pemimpin muda dan memberi peluang kepada calon yang lebih berusia.
Beliau mempersoal mengapa bekas Adun Endau, Alwiyah Talib yang sebelum ini keluar daripada Bersatu dan menyertai Umno, boleh tercalon untuk bertanding di DUN Endau tidak sampai sebulan menyertai Umno.
Beliau memberi contoh beberapa pemimpin muda lain yang “dikorbankan” hanya untuk memberi laluan kepada kroni sendiri.
“Cuba Asyraf dedahkan sebelum ahli Umno sendiri dedahkan. Kenapa Alwiyah Talib, bekas ADUN Endau dari parti Bersatu selama dua penggal, umum keluar Bersatu kemudian masuk balik Umno, tiba-tiba tidak sampai sebulan dipilih sebagai calon BN DUN Endau.
“Itu angkara siapa? Alwiyah umur 64 tahun. Kenapa korbankan Ketua Puteri Johor yang juga Ketua Puteri Mersing? Apakah Ketua Pemuda Mersing juga tidak layak? Kenapa BN tolak calon anak muda? Hebatkah si Alwiyah itu?
“Itu juga yang berlaku kepada Azizul Bachok bekas ADUN Tiram. Dia orang muda. Dia baru sepenggal jadi YB. Di saat terakhir dia digugur dan diganti oleh Senator Halim Sulaiman yang berumur 64 tahun. Tidakkah itu kronisme
“Maka sistem pilih calon itu yang saya protes. Apabila tidak dilayan, apa lagi pilihan yang saya ada? Parti jadi milik eksklusif. Sebab itu saya melakukan kamikaze untuk sedarkan pemimpin,” ujarnya lagi