Syiar Islam terus subur, kerajaan tetap bina Masjid Warisan depan Menara TRX

Projek pembinaan Masjid Warisan di hadapan Menara Tun Razak Exchange (TRX) Kuala Lumpur seperti dirancang akan diteruskan kerana terdapat keperluan untuk kepentingan dan keselesaan umat Islam yang bukan sekadar bagi solat Jumaat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata kewujudan masjid di situ juga penting bagi memperkukuh peranan institusi masjid sebagai pusat keharmonian masyarakat.

Beliau menegaskan bahawa tidak ada masjid di kawasan Bukit Bintang walaupun kewujudannya yang menempatkan pelbagai pusat beli-belah mega dan hotel bertaraf antarabangsa itu sudah puluhan tahun.

“Kerajaan (MADANI) Insya-Allah akan buat masjid di hadapan Menara Tun Razak Exchange (TRX). Walaupun ada (pihak) yang menentang, tetapi kita sudah berikan pencerahan dan penjelasan, selain adanya libat urus secara berhikmah.

“Jika semua pihak dapat memahami perkara ini, mereka akan menyokong,” katanya, dipetik Bernama.

Mewakafkan premis

Terdahulu, Dr Zulkifli dilapor berkata, cadangan pembinaan masjid baharu di kawasan tumpuan pelancong, Bukit Bintang itu susulan persetujuan pemilik sebuah bangunan di lokasi itu untuk mewakafkan premis berkenaan bagi tujuan ibadah.

Menurutnya, bangunan yang dahulunya dikenali sebagai Bangunan Yayasan Selangor itu akan dimajukan sebagai masjid dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan beberapa agensi berkaitan.

Dr Zulkifli memaklumkan pemilik bangunan terbabit bersetuju mewakafkan premis tersebut walaupun berpotensi menjana pulangan lumayan sekiranya digunakan untuk tujuan komersial.

Jelasnya, pembinaan masjid di bangunan itu yang boleh memuatkan lebih 1,500 Jemaah sekaligus mengisi keperluan masyarakat Islam di kawasan Bukit Bintang yang selama ini tidak mempunyai masjid khusus untuk menunaikan solat Jumaat.

Namun, veteran DAP, Datuk Teng Chang Khim yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menggesa cadangan pembinaan Masjid Warisan di sebuah tapak di hadapan Menara TRX dibatalkan.

Chang Khim, 63, yang telah menjadi wakil rakyat selama 25 tahun sebelum mengumumkan untuk bersara pada 2020 menganggap pembinaan masjid itu berpotensi mencetuskan ketidakharmonian dan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.

Dakwanya, cadangan tersebut akan membawa pertembungan aktiviti kebudayaan dalam satu kawasan yang telah dibangunkan sebagai pusat komersial dan hiburan yang rancak di Kuala Lumpur.

Malah, Chang Kim turut bertanyakan, adakah semua aktiviti di kawasan itu perlu dihentikan semasa laungan azan pada masa hadapan.

BACA JUGA Drama belakang tabir BN Johor tanda awal tragedi PRU15 boleh berulang