Nahas dua maut di Lenggong, siasatan awal kenderaan polis hilang kawalan ketika memotong
Kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki enam guru yang baru pulang menghadiri kursus semalam, terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan polis di Jalan Kuala Kangsar-Baling.
Akibat pertembungan tersebut, dua individu maut membabitkan seorang pegawai polis dan seorang guru.
Hasil siasatan awal mendapati, kereta Toyota Vios dipandu seorang pegawai polis, 41, yang dalam perjalanan menghala ke arah Kuala Kangsar dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong.
Kenderaan itu memasuki laluan bertentangan dan bertembung secara berdepan dengan sebuah kereta jenis Honda Odyssey yang dipandu seorang guru wanita, 44, dari arah Kuala Kangsar ke Gerik bersama lima orang penumpang yang juga guru.
Menurut Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman, guru yang meninggal dunia adalah seorang daripada lima penumpang MPV terbabit yang berada di tempat duduk belakang.
Mangsa disahkan meninggal ketika sedang mendapatkan rawatan awal di lokasi kejadian.
Nahas mengorbankan seorang guru dari Kolej Vokasional Gerik, Zuraida Abu Bakar, 47, dan Inspektor Melvindar Singh Gamum Singh, 41, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu.