PRN Johor: Ini kenapa PH nampak lebih bersedia, BN & PN bergelora
OLEH AHMAD MURSI
Beberapa hari sebelum Penamaan Calon, suasana tiga gabungan utama nampak sangat berbeza.
PH kelihatan lebih tersusun dan stabil. BN serta PN pula nampak masih bergelut dengan isu dalaman.
PH paling padu
PH umum calon lebih awal dan jelas.
Anwar Ibrahim sendiri umumkan senarai calon bersama pimpinan parti-parti komponen.
PH masuk gelanggang dengan semangat setiakawan dan disiplin. PH nampak bersedia untuk bertanding dan memerintah. Ini penting untuk yakinkan pengundi atas pagar.
BN: Pengumuman calon banyak tanda tanya
Majlis pengumuman calon BN lewat lebih dua jam. Presiden, Timbalan Presiden dan beberapa pimpinan utama Umno pusat pula tidak hadir.
Ada jurang antara Umno Pusat dan Umno Johor yang dikuasai Hishamuddin.
BN bertanding solo, tetapi pengumuman calon sendiri tidak nampak begitu kuat dan bersatu.
Sedangkan BN yang bubarkan DUN. Sepatutnya merekalah paling awal bersedia. Nama Hasni Mohammad tidak dicalonkan walaupun beliau tokoh besar Umno Johor.
BN pilih bekas pemimpin Bersatu, Alawiyah Talib di Endau. Ini timbulkan persoalan sama ada BN sendiri kurang yakin kepada kadernya.
Pencalonan semula Dr Adham Baba juga menarik perhatian kerana rekod kontroversi ketika pandemik, termasuk tip minum air suam untuk menghalang jangkitan COVID-19.
Puad Zarkashi pula terbuka mempertikai proses pemilihan calon, mendakwa UMNO kini seperti “boneka”, “dikawal Istana” dan menjadi “pak turut”.
Maksudnya, ramai dalam BN tidak gembira dengan senarai calon kali ini.
Onn Hafiz dan BN Johor terus terseret isu
Drama air mata “Onnlywood” jadi bahan jenaka. Isu hubungan Onn Hafiz dengan DAP jadi tema kempen.
Zahid dan menteri-menteri BN dalam Kerajaan MADANI seolah-olah digambarkan tidak berprinsip kerana bersama DAP.
Dakwaan Dr Puad Zarkashi tentang hubungan MB, Umno dan Istana juga membuka ruang kepada serangan susulan. Ini drama bersiri, baru intro.
Isu Felda pula nampak seperti MB menyerang pengurusan yang dikaitkan dengan pemimpin Umno Pusat sendiri.
BN mahu jual imej stabil. Tetapi naratif mereka sendiri sudah bercampur dengan konflik dan kontroversi.
PN pun tidak tenang
Hubungan Pas dan Bersatu nampak makin renggang. Isu kerusi dan hala tuju hubungan dengan Umno terus timbulkan pertelingkahan.
Kemunculan parti baharu yang dikaitkan dengan Hamzah Zainuddin tambah kerumitan.
Isu lambang dan struktur kepimpinan PN juga tunjuk gabungan itu belum benar-benar kukuh.
Pelancaran jentera PN pun dibuat berasingan antara Pas dan Bersatu.
Mahiaddin pula berjaya halang Parti Wamwamsang daripada menunggang logo PN di Johor.
PN susah mahu bercakap soal kestabilan apabila masalah sesama sendiri pun belum selesai.
Kontrasnya jelas
PH: calon diumumkan dalam suasana bersatu dan teratur.
BN: isu calon, jurang pusat-negeri dan banyak drama.
PN: pertikaian antara komponen, isu lambang dan hala tuju tidak jelas.
Rakyat Johor bukan sekadar mahu slogan atau drama kempen. Mereka mahu kerajaan yang boleh terus bekerja selepas pilihan raya.
PRN Johor ialah ujian siapa paling bersedia memimpin negeri.
Setakat ini, PH nampak paling stabil, paling padu, paling tersusun dan paling meyakinkan.