RENCANA | PRN Johor 2026: Politik Melayu di persimpangan baharu
Dr Azrie Azeh
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat bukan sekadar medan menentukan kerajaan negeri, bahkan merupakan ujian penting terhadap hala tuju politik Melayu dalam landskap politik Malaysia pasca-2018.
Sebagai negeri yang sering dianggap sebagai barometer politik nasional serta tempat kelahiran Umno, perkembangan politik di Johor sentiasa mempunyai implikasi yang lebih luas terhadap kestabilan politik negara.
Keputusan PRN Johor 2022 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar dengan majoriti dua pertiga memberikan gambaran bahawa pengundi ketika itu lebih cenderung memilih kestabilan politik selepas tempoh ketidaktentuan yang panjang.
Namun, politik merupakan fenomena yang dinamik. Apa yang berlaku pada tahun 2022 tidak semestinya berulang dalam PRN kali ini kerana corak pengundian sentiasa dipengaruhi oleh perubahan ekonomi, kepimpinan, demografi dan persepsi rakyat terhadap prestasi kerajaan.
Dalam konteks semasa, politik Melayu hari ini sedang melalui satu proses transformasi yang signifikan. Jika sebelum ini politik Melayu berpusat kepada satu parti dominan, kini ruang tersebut telah terpecah kepada beberapa kutub utama yang bersaing untuk mendapatkan mandat rakyat.
Umno, Pas, Bersatu dan kelompok reformis Melayu masing-masing membawa pendekatan tersendiri dalam mentafsirkan kepentingan Melayu, Islam dan masa depan negara.
Fenomena ini menjadikan undi Melayu semakin bernilai, namun pada masa yang sama mewujudkan risiko fragmentasi politik yang berpanjangan.
Perpecahan politik Melayu bukan lagi berlaku antara blok kerajaan dan pembangkang semata-mata, tetapi turut berlaku dalam kalangan parti-parti yang mendakwa memperjuangkan agenda yang hampir serupa.
Akibatnya, banyak tenaga politik dihabiskan untuk persaingan sesama sendiri berbanding membina agenda pembangunan bangsa yang lebih besar.
Lebih membimbangkan, landskap politik nasional sejak beberapa tahun kebelakangan ini memperlihatkan kecenderungan konflik dalaman parti yang semakin ketara.
Episod pergeseran kepimpinan, perebutan pengaruh dan perbezaan strategi dalam beberapa parti politik utama, termasuk PKR, Umno dan Bersatu, menunjukkan bahawa institusi parti tidak lagi mempunyai tahap kestabilan yang pernah dinikmati suatu ketika dahulu.
Fenomena ini memberikan mesej bahawa masa depan bangsa tidak boleh disandarkan sepenuhnya kepada kekuatan parti politik yang sentiasa berubah mengikut percaturan kuasa.
Keperluan membina institusi bangsa
Sehubungan itu, perbincangan mengenai pembinaan institusi strategik seperti Rumah Bangsa Melayu menjadi semakin relevan.
Bangsa yang berjaya dalam sejarah lazimnya mempunyai institusi pemikiran yang mampu merancang masa depan merentasi kitaran politik dan pertukaran kerajaan. Institusi seperti inilah yang boleh menjadi medan penyatuan pemikiran apabila politik berada dalam keadaan berpecah.
Dari sudut analisis politik, terdapat beberapa kebarangkalian yang boleh membentuk keputusan PRN Johor 2026.
Pertama, jika kerajaan negeri berjaya mengekalkan prestasi ekonomi yang positif, menarik pelaburan baharu, memperkukuh peluang pekerjaan dan mengurus isu kos sara hidup dengan berkesan, parti penyandang mempunyai kelebihan yang signifikan untuk mengekalkan penguasaan.
Dalam teori sains politik, faktor incumbency advantage sering memberikan kelebihan kepada kerajaan yang dilihat stabil dan mampu memenuhi keperluan rakyat.
Kedua, sekiranya kadar keluar mengundi meningkat, khususnya dalam kalangan pengundi muda, keputusan pilihan raya boleh menjadi lebih kompetitif.
Golongan muda hari ini mempunyai orientasi politik yang berbeza daripada generasi terdahulu. Mereka lebih menilai prestasi, integriti, peluang ekonomi dan kecekapan pentadbiran berbanding kesetiaan tradisional kepada sesebuah parti.
Ketiga, jika perpecahan politik Melayu terus berlarutan dan pertandingan pelbagai penjuru berlaku secara meluas, keputusan pilihan raya boleh menghasilkan kejutan yang sukar diramalkan.
Dalam keadaan sedemikian, kemenangan tidak semestinya ditentukan oleh kekuatan sesebuah parti, tetapi oleh tahap perpecahan lawan yang berlaku.
Cabaran abad ke-21
Walau bagaimanapun, persoalan paling besar yang perlu direnungi bukanlah siapa yang bakal menang atau kalah. Persoalan sebenar ialah sama ada politik Melayu mampu menyesuaikan dirinya dengan cabaran abad ke-21.
Dunia sedang bergerak ke arah kecerdasan buatan, ekonomi digital, automasi industri, keselamatan makanan, tenaga hijau dan persaingan teknologi yang semakin sengit.
Dalam keadaan ini, bangsa yang gagal merancang masa depan akan ketinggalan walaupun memiliki kuasa politik yang besar.
Politik Melayu tidak lagi boleh dibina semata-mata atas naratif ketakutan, konflik dan persaingan kuasa. Sebaliknya, politik Melayu perlu bergerak ke arah politik pembangunan peradaban yang meletakkan pendidikan, ekonomi, teknologi, penguasaan ilmu dan pembangunan modal insan sebagai agenda utama.
Kejayaan sesuatu bangsa pada masa hadapan tidak lagi ditentukan oleh jumlah kerusi yang dimenangi, tetapi oleh keupayaannya melahirkan masyarakat yang berilmu, produktif dan berdaya saing.
Dalam konteks ini, lirik lagu patriotik Anak Kecil Main Api membawa pengajaran yang amat mendalam kepada politik Melayu hari ini.
Rangkap yang menyebut, “tanah tergadai akibat sengketa”, bukan sekadar nostalgia sejarah, tetapi suatu peringatan yang sentiasa relevan.
Sejarah dunia menunjukkan bahawa banyak tamadun besar tidak runtuh kerana ancaman luar, tetapi kerana perpecahan dalaman yang gagal diurus dengan bijaksana.
Bagi politik Melayu, “tanah tergadai” pada abad ke-21 tidak semestinya bermaksud kehilangan wilayah atau kedaulatan fizikal. Ia boleh berlaku dalam bentuk kehilangan daya saing ekonomi, keciciran pendidikan, kemerosotan penguasaan teknologi dan kegagalan generasi muda merebut peluang yang tersedia dalam ekonomi global.
Apabila perpecahan menjadi budaya dan perseteruan mengatasi amalan musyawarah, bangsa akan kehilangan keupayaan untuk merancang masa depannya sendiri.
PRN Johor 2026, oleh itu, harus dilihat sebagai lebih daripada sekadar pilihan raya. Ia merupakan cerminan tahap kematangan politik Melayu dalam menghadapi perubahan zaman.
Sama ada kemenangan berpihak kepada kerajaan sedia ada atau pembangkang, ukuran sebenar kejayaan terletak pada kemampuan pemimpin dan masyarakat Melayu membina kesepakatan terhadap agenda besar bangsa.
Masa depan politik Melayu tidak boleh terus bergantung kepada reaksi terhadap krisis semasa. Ia memerlukan visi jangka panjang, institusi yang kukuh dan kepimpinan yang berani meletakkan kepentingan bangsa dan negara mengatasi kepentingan kelompok.
Hanya dengan pendekatan sedemikian, politik Melayu mampu kekal relevan sebagai tunjang kestabilan negara dan peneraju pembangunan Malaysia pada dekad-dekad yang akan datang.
BACA JUGA Guna logo sama tetapi Pas tak mahu tolong kempen untuk Bersatu