Isu Rohingya, Kabinet arah KDN cari jalan penyelesaian

Kerajaan masih belum membuat keputusan muktamad berhubung isu etnik Rohingya di negara ini, namun Kabinet mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneliti beberapa cadangan bagi mencari penyelesaian yang lebih menyeluruh.

Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, arahan itu dibuat selepas Jemaah Menteri membincangkan hasil mesyuarat penyelarasan yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi minggu lalu.

Menurut beliau, kerajaan sedang memperhalusi beberapa langkah yang boleh dilaksanakan secara holistik sebelum sebarang keputusan diumumkan.

“Kami ada mesyuarat penyelarasan antara pelbagai agensi, pelbagai jabatan dan kementerian, termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pejabat Menteri Besar Selangor, Jabatan Imigresen (JIM) serta banyak lagi.

“Ini adalah untuk mendapatkan hala tuju susulan kepada satu mesyuarat yang telah diadakan dua minggu lalu,” katanya pada sidang media mingguan pasca Mesyuarat Kabinet.

Fahmi berkata, hasil perbincangan itu kemudiannya dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri yang mengarahkan KDN meneliti beberapa dapatan sebelum tindakan lanjut diputuskan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan belum ada sebarang keputusan yang dimuktamadkan kerana beberapa siri perbincangan dan penyelarasan lanjut masih perlu dilakukan.

“Ia perlu diselaraskan dengan kementerian-kementerian yang berkaitan, termasuk Kementerian Luar (KLN) dan agensi penguatkuasaan.

“Ini untuk memastikan sebarang tindakan yang diambil benar-benar mencapai maksud sekiranya ia berkaitan sama ada pendaftaran atau perkara berkaitan,” katanya.

Menurut Fahmi, kerajaan mahu memastikan sebarang langkah yang diambil nanti dapat dilaksanakan secara berkesan dan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk keselamatan, kemanusiaan dan penguatkuasaan.

“Jadi perkara ini masih dalam perbincangan dan belum ada keputusan tertentu untuk diumumkan pada hari ini. Perbincangan akan diteruskan dalam masa terdekat,” katanya.

Isu etnik Rohingya terus menjadi perhatian kerajaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan pelbagai cabaran yang melibatkan aspek pengurusan, kebajikan, keselamatan dan status mereka di negara ini.

BACA JUGA Puteri Umno setuju dengan Puad: Orang muda tak boleh asyik jadi penonton