PKR Johor sahkan 20 calon PH lulus penamaan, seru kempen matang dan berhemah

FOTO BERITA: Sidang Media oleh YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Johor (MPN Johor) Parti Keadilan Rakyat di BGU Keadilan,9, Jalan Serampang, Taman Sri Tebrau, Johor Bahru, Johor. 27hb Jun 2026 (Sabtu)

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan kesemua 20 calon PKR yang bertanding di bawah panji Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 berjaya melepasi proses penamaan calon tanpa sebarang bantahan. Beliau berkata proses penamaan calon yang berlangsung di 56 pusat penamaan calon di seluruh Johor pada Sabtu berjalan lancar, tertib dan aman, sekali gus mencerminkan kematangan sistem demokrasi negara serta kerjasama semua pihak yang terlibat.

“Alhamdulillah, cuaca juga sangat baik dan kondusif. Kesemua calon PKR yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan telah selesai menjalani proses penamaan calon dengan jayanya tanpa sebarang bantahan,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) PKR, Jalan Serampang, Taman Sri Tebrau, di sini. Dr. Zaliha turut merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan, petugas keselamatan serta media atas profesionalisme mereka dalam memastikan kelancaran proses penamaan calon.

Beliau berkata dengan bermulanya tempoh berkempen secara rasmi, semua jentera parti, penyokong dan calon diseru mematuhi segala syarat serta peraturan yang ditetapkan SPR. Menurutnya, kempen perlu dijalankan secara matang, sihat dan berhemah tanpa memainkan isu perkauman, agama atau sebarang sentimen yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.

“Johor terkenal dengan adat dan kesantunannya. Justeru, kita mahu kempen kali ini berlangsung secara berhemah demi mengekalkan keharmonian yang menjadi tunjang kekuatan negeri ini,” katanya. Beliau menegaskan 20 calon yang diketengahkan PKR merupakan gabungan individu berintegriti, berpengalaman dan mempunyai tekad tinggi untuk membawa suara serta aspirasi rakyat Johor.

Dalam perkembangan lain, Dr. Zaliha memaklumkan manifesto Pakatan Harapan Johor akan dilancarkan dalam masa terdekat dan dijangka mengandungi kira-kira 10 teras utama yang memberi fokus kepada keperluan rakyat negeri itu. Katanya, manifesto tersebut turut merangkumi tawaran khusus kepada golongan muda termasuk aspek perumahan, pembangunan kehidupan serta peluang masa depan mereka.

Mengulas usaha meningkatkan kadar keluar mengundi, beliau berkata PKR sedang giat menjalankan kempen menggalakkan pengundi Johor yang bekerja atau menetap di luar negeri termasuk di Singapura supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian. Beliau berkata penetapan hari pengundian pada Sabtu, 11 Julai, dijangka memudahkan pengundi yang berada di luar Johor untuk pulang mengundi.

Mengulas penyertaan bekas ahli PKR yang bertanding atas tiket parti lain, Dr. Zaliha menyifatkan ia sebagai pilihan individu berkenaan dan menegaskan sokongan akar umbi terhadap PKR serta Pakatan Harapan kekal kukuh. Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap momentum sokongan yang semakin meningkat hasil siri jelajah, konvensyen dan pengumuman calon yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada rakyat di seluruh Johor.

“Kita akan terus turun padang bertemu rakyat dan menjelaskan segala usaha serta pencapaian kerajaan Persekutuan dengan fakta dan data supaya rakyat dapat membuat pilihan yang terbaik untuk masa depan Johor,” katanya.