PRN Johor : Gendang dipalu, 14 hari ‘perang’ bermula 

Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bermula pagi ini di 56 pusat penamaan calon (PPC) di seluruh negeri, menandakan bermulanya tempoh kempen selama 14 hari.

Calon diberi masa dari jam 9 pagi hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya sebelum senarai calon yang layak bertanding diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tempoh berkempen akan berlangsung sejurus selesai proses penamaan calon sehingga 11.59 malam, 10 Julai.

SPR menetapkan pengundian awal pada 7 Julai, manakala hari pengundian pada 11 Julai, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun lalu.

Berdasarkan kepada kenyataan SPR, sebanyak 593 borang pencalonan telah dijual, dengan 133 bakal calon telah membayar deposit bagi mengesahkan penyertaan mereka.

PRN kali ini melibatkan 2,727,926 pemilih berdaftar, terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan serta 12,710 anggota polis dan pasangan.

Pertandingan dijangka sengit dengan penyertaan calon muka baharu, penyandang serta bekas wakil rakyat bagi merebut 56 kerusi DUN.

Pakatan Harapan (PH) bertanding di semua kerusi dengan agihan PKR (20), Amanah (19) dan DAP (17).

Barisan Nasional (BN) turut bertanding di semua kerusi melalui Umno (36), MCA (16) dan MIC (empat).

Perikatan Nasional (PN) pula bertanding melalui Pas (11), Bersatu (16), MIPP (lima) dan Pejuang (satu).

Turut serta ialah MUDA (empat kerusi), Parti Sosialis Malaysia (satu) dan Parti Bersama Malaysia yang dijangka bertanding di 15 kerusi.

SPR mengingatkan semua pihak supaya mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta peraturan pihak berkuasa tempatan, termasuk larangan penggunaan alat muzik dan pembesar suara melalui kenderaan.

MetMalaysia meramalkan hujan pada waktu pagi di beberapa kawasan di Johor, dengan ribut petir dijangka pada sebelah petang.

BACA JUGA Pas tak mahu bantu? Azmin kata Bersatu boleh jalan sendiri