Pulau Pinang ‘raja eksport’, dagangan Malaysia cecah RM327.6 bilion
Prestasi perdagangan Malaysia terus menunjukkan momentum positif apabila jumlah dagangan negara mencecah RM327.6 bilion pada Mei lalu, dengan Pulau Pinang muncul sebagai penyumbang terbesar kepada eksport dan import negara.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan eksport negara bernilai RM184 bilion, manakala import berjumlah RM143.6 bilion bagi tempoh berkenaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai eksport meningkat sebanyak RM57.4 bilion atau 45.3 peratus berbanding Mei tahun lalu.
Menurut beliau, peningkatan itu didorong terutamanya oleh pertumbuhan eksport di Pulau Pinang yang merekodkan kenaikan RM50 bilion, diikuti Johor (RM6.6 bilion), Kuala Lumpur (RM2.1 bilion), Sarawak (RM1.7 bilion), Perak (RM504.4 juta), Terengganu (RM346 juta) dan Kelantan (RM35.7 juta).
“Pulau Pinang menyumbang 52.1 peratus daripada keseluruhan eksport negara, diikuti Johor sebanyak 17 peratus, Selangor (12.7 peratus), Sarawak (lima peratus) dan Kuala Lumpur (3.7 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, beberapa negeri mencatatkan penurunan eksport, antaranya Sabah sebanyak RM1.1 bilion, Pahang (RM905.8 juta), Melaka (RM569.7 juta), Selangor (RM509.1 juta), Labuan (RM282.9 juta), Kedah (RM183.4 juta), Negeri Sembilan (RM154.1 juta) dan Perlis (RM10.3 juta).
Sementara itu, nilai import negara turut meningkat sebanyak RM17.8 bilion atau 14.1 peratus berbanding Mei 2025.
Mohd Uzir berkata, peningkatan import dipacu oleh pertumbuhan ketara di Pulau Pinang yang merekodkan kenaikan RM13.2 bilion, diikuti Johor (RM9.2 bilion), Kedah (RM1.3 bilion), Negeri Sembilan (RM1 bilion) dan Kuala Lumpur (RM496.4 juta).
Turut mencatatkan peningkatan ialah Sabah (RM245 juta), Pahang (RM68.1 juta), Labuan (RM31.5 juta) dan Terengganu (RM2.2 juta).
Sebaliknya, beberapa negeri merekodkan penurunan import, termasuk Selangor sebanyak RM4.7 bilion, Melaka (RM1.4 bilion), Perak (RM215.8 juta), Perlis (RM117.2 juta), Sarawak (RM55.1 juta) dan Kelantan (RM41.3 juta).
“Pulau Pinang terus mendominasi import negara dengan sumbangan sebanyak 29.4 peratus, diikuti Johor (24.4 peratus), Selangor (22.4 peratus), Kuala Lumpur (8.3 peratus) dan Kedah (4.8 peratus),” katanya.
Prestasi dagangan yang memberangsangkan itu dilihat mencerminkan ketahanan ekonomi negara di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global, dengan sektor pembuatan dan eksport berteknologi tinggi terus menjadi pemacu utama pertumbuhan perdagangan Malaysia.
BACA JUGA Anak muda perlu jadi pencetus perubahan alam sekitar, kata Syed Ibrahim