PH sasar tawan lebih 12 kerusi DUN Johor
Pakatan Harapan (PH) meletakkan sasaran untuk menambah jumlah kerusi yang dimenangi gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, berbanding 12 kerusi yang diraih pada pilihan raya lalu.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, gabungan itu komited untuk memberikan saingan terbaik dengan menggerakkan usaha serta jentera secara maksimum sepanjang kempen bagi mencapai sasaran tersebut.
“Bagi PH, kita akan usahakan yang terbaik, bermula daripada 12 kerusi yang kita menangi dalam Pilihan Raya Negeri 2022.
“Sudah pasti kita berharap dan akan bekerja keras untuk memastikan jumlah itu meningkat.
“Bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR), kita bermula dengan satu kerusi iaitu di Bukit Batu,” katanya.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menambah tempoh dua minggu berkempen memberi ruang kepada PH untuk mengatur pelbagai strategi bagi meningkatkan sokongan pengundi.
“Insya-Allah kita rancang dan ada beberapa idea yang akan dilontarkan.
“Semalam Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa dalam masa beberapa hari lagi, manifesto PH bagi Johor akan dibentangkan dan dilancarkan.
“Daripada situ, saya percaya kita akan menunjukkan bahawa PH serius untuk berusaha membentuk kerajaan negeri serta memenangi lebih banyak kerusi yang ditandingi,” kata Fahmi lagi.