MAIS arah pertemuan segera waris, pihak masjid selesai isu jenazah lewat kebumi
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengambil maklum insiden membabitkan jenazah yang lewat dikebumikan kerana salah faham antara pihak waris dengan pengurusan Masjid Nurul Hidayah, Kg Pandan Dalam.
Dalam satu kenyataan pagi ini, MAIS telah mengarahkan pertemuan segera dijalankan oleh wakil mereka dengan waris yang terlibat, termasuk pengurusan Masjid Nurul Hidayah, Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, langkah itu bagi mencapai penyelesaian terbaik untuk semua pihak yang terbabit selain memastikan insiden sama tidak berulang pada masa hadapan.
“MAIS akan menilai pengurusan jenazah orang Islam yang sedang dilaksanakan oleh pihak pengurusan masjid dan mengenal pasti jika terdapat ruang penambahbaikan yang boleh diambil.
“Hal ini untuk memastikan pengurusan jenazah orang Islam dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah, teratur dan cekap serta memenuhi tuntutan hukum syarak,” katanya sambil menegaskan komitmen untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku
MAIS memberi jaminan bahawa semua dapatan hasil siasatan pihak polis, sama ada dari aspek jenayah, kecuaian atau salah faham komunikasi antara pihak-pihak yang terlibat akan diambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab.
MAIS menasihatkan semua pihak agar memberi ruang kepada pihak polis membuat siasatan yang telus dan adil berhubung kes ini.
“Masyarakat Islam dinasihatman untuk terus memperkuatkan ukhuwah sesama Islam dan tidak menjadikan perbezaan pandangan dalam sesuatu perkara sebagai medan perpecahan dan kebencian,” katanya lagi.
BACA JUGA Jangan banding suhu panas UK dengan Malaysia, 35°C di sana tak sama dengan kita