PRN Johor: Polis terima 7 laporan, tiga kertas siasatan dibuka libat khianat api, hasutan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima tujuh laporan polis setakat ini berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sejak bermula hari penamaan calon sehingga semalam, 28 Jun.

Daripada tujuh laporan, sebanyak tiga kertas siasatan telah dibuka berhubung insiden khianat dengan api atau bahan letupan serta kecenderungan menghasut sepanjang tempoh pilihan raya.

Ketua Polis Johor, Datuk AB Rahaman Arsad mendedahkan dua daripada kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api atau bahan letupan, selain Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Sementara itu, satu lagi kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ia membabitkan tindakan melakukan atau cuba melakukan perbuatan berunsur hasutan, serta salah guna kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

“Secara keseluruhan sejak hari penamaan calon pada Sabtu lepas sehingga semalam, kami telah menerima tujuh laporan polis berkaitan PRN Johor.

“PDRM Johor terus mempertingkatkan kawalan keselamatan serta pemantauan di semua daerah pilihan raya bagi memastikan setiap proses pilihan raya berjalan dengan lancar, teratur dan selamat. 

“Sehingga kini, tiada insiden yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dilaporkan. semua aktiviti politik dan kempen turut berlangsung dalam keadaan aman, teratur serta mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan hasil daripada pemantauan dan kawalan berterusan oleh polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan, pihaknya akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan sebarang pelanggaran undang-undang diambil tindakan secara tegas, adil dan berintegriti.

Dalam usaha mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam, polis turut mempergiatkan pemantauan di platform media sosial serta bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi mengesan dan menangani penyebaran berita palsu, maklumat tidak sahih serta kandungan berunsur hasutan atau provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam. 

Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.

BACA JUGA 11 manifesto BN yang gagal ditunaikan Onn Hafiz