Ezam tekad perjuang kebajikan warga emas, mahu kerajaan negeri selari dengan Persekutuan

FOTO BERITA: ‘Walkabout’ bersama calon N.21 Parit Yaani, Sdr Md Ezam Taslim di Pasar Malam Taman Ceria, Parit Haji Sidek, Batu Pahat, Johor. 30hb Jun 2026 (Selasa)

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.21 Parit Yaani, Md Ezam Taslim, menegaskan kebajikan warga emas akan menjadi antara keutamaan beliau sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut Md Ezam, golongan warga emas perlu terus diberi perhatian memandangkan jangka hayat rakyat semakin meningkat dan mereka memerlukan sokongan daripada pelbagai aspek termasuk kebajikan serta aktiviti kemasyarakatan.

Katanya, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memainkan peranan penting sebagai platform bagi warga emas menjalankan aktiviti, mengisi masa lapang dan berinteraksi dengan komuniti.

“Selain aktiviti, aspek kebajikan juga perlu diberi perhatian. Ramai warga emas yang layak menerima bantuan tetapi masih tercicir kerana tidak mengetahui cara membuat permohonan atau berdepan masalah dokumentasi.

“Pusat khidmat rakyat perlu memainkan peranan membantu mereka menguruskan permohonan supaya setiap individu yang layak mendapat bantuan sewajarnya,” katanya.

Mengulas pencalonannya yang pertama kali di Parit Yaani, Md Ezam berkata beliau menghormati penyandang kerusi berkenaan, Datuk Najib Samuri, namun yakin PH mempunyai kekuatan tersendiri sebagai parti yang menerajui Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, penyelarasan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan amat penting bagi memastikan segala dasar, bantuan dan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar demi kepentingan rakyat.

“Apabila kerajaan negeri selari dengan Kerajaan Persekutuan, bukan sahaja dasar lebih mudah diselaraskan, malah pelantikan kepimpinan di peringkat akar umbi seperti ketua kampung dan ahli majlis juga akan memudahkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Mengulas perkembangan kempen, Md Ezam berkata sambutan yang diterima sepanjang beberapa hari berkempen amat menggalakkan. Beliau berkata DUN Parit Yaani mempunyai komposisi kira-kira 56 peratus pengundi Melayu, 43 peratus pengundi Cina dan selebihnya kaum India, justeru beliau komited membawa suara semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

Beliau berkata DUN Parit Yaani mempunyai komposisi kira-kira 56 peratus pengundi Melayu, 43 peratus pengundi Cina dan selebihnya kaum India, justeru beliau komited membawa suara semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

“Pakatan Harapan memperjuangkan kepentingan semua rakyat. Kita mahu memastikan setiap masyarakat mendapat pembelaan dan hak mereka terus dipertahankan,” katanya.

Mengulas kenyataan PAS yang menyeru penyokongnya mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi parti itu, Md Ezam berkata arahan pimpinan tidak semestinya diterjemahkan sepenuhnya oleh pengundi di peringkat akar umbi.

Beliau yang pernah aktif dalam PAS sebelum menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) selepas perpecahan parti itu pada 2015 berkata, beliau mengenali ramai ahli PAS di Parit Yaani dan percaya mereka akan membuat pilihan secara rasional berdasarkan prestasi serta kemampuan calon.

“Saya yakin pengundi akan menilai siapa yang benar-benar bekerja dan mampu membawa perubahan, bukannya semata-mata mengikut arahan politik,” katanya. Ezam turut menjelaskan keputusan meninggalkan PAS lebih sedekad lalu dibuat selepas melihat AMANAH sebagai wadah perjuangan yang lebih sesuai dengan prinsip yang dipegangnya.

Sementara itu, beliau menyifatkan pertembungan secara kebetulan dengan Datuk Najib Samuri (baju biru) ketika berkempen di pasar malam berkenaan sebagai perkara biasa dalam musim pilihan raya.

Katanya, walaupun mewakili parti yang berbeza, hubungan sesama calon perlu terus dipelihara dengan semangat hormat-menghormati serta mengamalkan politik yang matang.
