Jika BN-Pas ‘dua kali lima’, Pakatan Harapan lah pilihan terbaik
Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong berpandangan bahawa jika Barisan Nasional (BN) dan Pas kini dilihat sebagai “dua kali lima”, maka Pakatan Harapan (PH) merupakan pilihan terbaik bagi pengundi yang mahukan kestabilan politik, tadbir urus yang baik serta pembangunan ekonomi.
Menurut beliau, perkembangan politik di Johor menunjukkan Pas tidak lagi bersungguh-sungguh mencabar BN apabila hanya bertanding di 11 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Malah, terdapat gesaan supaya ahli-ahli Pas memberikan sokongan kepada calon BN di beberapa kawasan, sekali gus menguatkan persepsi bahawa kedua-dua parti sedang menyusun strategi yang saling menguntungkan.
Liew berkata strategi itu turut disertai dengan naratif “perpaduan Melayu Islam” dan usaha menjadikan DAP sebagai sasaran utama bagi mempengaruhi pengundi Melayu, sedangkan pada masa sama BN masih bergantung kepada sokongan pengundi bukan Melayu menerusi calon MCA dan MIC.
Beliau turut mempersoalkan perubahan pendirian Pas yang kini dilihat memberi kelebihan kepada BN, sedangkan kejayaan parti itu pada Pilihan Raya Umum 2018 dan 2022 banyak dibina atas penolakan rakyat terhadap Umno yang dikaitkan dengan isu rasuah dan kelemahan pentadbiran.
“Jika undi kepada BN akhirnya menguntungkan Pas, dan undi kepada Pas pula memberi kelebihan kepada BN, maka pengundi perlu mempertimbangkan pilihan yang benar-benar menawarkan hala tuju berbeza,” katanya yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri.
Menurut Liew, bagi pengundi yang sebelum ini memilih PN kerana tidak lagi mempercayai BN, PH kini muncul sebagai alternatif yang lebih jelas dengan menawarkan kestabilan politik, pentadbiran sederhana, tadbir urus yang baik serta fokus kepada ekonomi dan pembangunan.
Beliau percaya semakin ramai pengundi akan membuat kesimpulan bahawa jika BN dan Pas akhirnya dilihat sebagai “dua kali lima”, maka Pakatan Harapan adalah pilihan yang lebih baik untuk membawa Johor ke hadapan.
BACA JUGA Pelbagai bantuan disalur, nelayan di Terengganu terus dibela kerajaan Persekutuan