Md Ezam garis empat agenda utama bangunkan DUN Parit Yaani

FOTO BERITA: ‘Kenali Calon Kita’ bersama calon N.21 Parit Yaani Md Ezam Taslim di Kg. Seri Wangi, Parit Yaani Yong Peng Johor. Selasa 30hb Jun 2026 (Gambar: Unit Media calon N.21 Md. Azam)

Calon Pakatan Harapan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.21 Parit Yaani, Md Ezam Taslim, berikrar untuk memberi tumpuan kepada empat agenda utama iaitu kebajikan, pendidikan, ekonomi dan infrastruktur sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Md Ezam, yang merupakan anak jati Parit Yaani, berkata pengalaman lebih sedekad berkhidmat sebagai pegawai khas kepada wakil rakyat menjadikannya lebih memahami keperluan dan aspirasi masyarakat setempat.

“Saya telah bersama rakyat Parit Yaani sejak tahun 2015 sebagai pegawai khas ADUN dan Ahli Parlimen, sebelum meneruskan khidmat sebagai pegawai khas Ahli Parlimen Sri Gading hingga kini. Pengalaman ini memberi peluang kepada saya memahami denyut nadi rakyat serta isu yang mereka hadapi,” katanya.

Menurut beliau, sambutan yang diterima sepanjang tempoh berkempen amat menggalakkan apabila pengundi di pelbagai lokasi seperti kedai kopi, masjid, surau dan majlis komuniti memberikan maklum balas positif terhadap kempen Pakatan Harapan.

Beliau berkata, jika dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Parit Yaani, fokus pertama adalah memastikan kebajikan rakyat terus terbela dengan membantu golongan yang layak memperoleh bantuan kerajaan tanpa tercicir.

Dalam aspek pendidikan pula, beliau mahu memperkukuhkan peluang pendidikan akademik dan latihan kemahiran TVET bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan sektor perindustrian di kawasan Parit Yaani dan Batu Pahat.

Dalam aspek pendidikan pula, beliau mahu memperkukuhkan peluang pendidikan akademik dan latihan kemahiran TVET bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan sektor perindustrian di kawasan Parit Yaani dan Batu Pahat.

Md Ezam turut melihat potensi ekonomi kawasan seperti Tongkang Pecah yang mempunyai pembangunan industri dan perniagaan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi setempat serta negeri Johor.

Selain itu, beliau menegaskan aspek infrastruktur dan kemudahan awam akan terus diberi perhatian melalui kerjasama rapat dengan agensi kerajaan bagi memastikan setiap aduan berkaitan jalan raya, sistem perparitan dan kemudahan awam dapat diselesaikan dengan lebih berkesan.

Mengulas mengenai cabaran kempen, beliau berkata pendekatan tradisional seperti walkabout dan pertemuan bersemuka dengan pengundi akan diteruskan, di samping memperkukuhkan penggunaan media sosial termasuk Facebook dan TikTok bagi memastikan maklumat kempen dapat disampaikan kepada golongan muda dengan lebih meluas.

Pada akhir sesi, beliau menyeru semua pengundi DUN Parit Yaani supaya menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian 11 Julai ini dengan keluar mengundi serta memberi mandat kepada Pakatan Harapan bagi memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan seiring dengan Kerajaan Persekutuan.