Misi ‘akak kapal’ mahu manfaatkan pengalaman maritim untuk Sungai Balang
Calon Pakatan Harapan DUN Sungai Balang, Ayna Soraya Badaruddin mahu memanfaatkan ilmunya dalam bidang kejuruteraan maritim untuk membantu pembangunan penduduk setempat dengan menyediakan peluang pekerjaan lebih luas kepada belia.
Ayna Soraya, 31, yang digelar ‘akak kapal’ berkata, ini dapat mengurangkan kebergantungan anak muda untuk berhijrah mencari pekerjaan di luar kawasan.
Beliau melihat Sungai Balang mempunyai potensi besar dalam tiga sektor utama iaitu pelancongan, perikanan serta pertanian.
Katanya, kawasan seperti Parit Jawa dan Pantai Leka mempunyai potensi besar untuk menarik minat golongan muda, namun memerlukan pembangunan lebih tersusun termasuk penambahbaikan jeti, kemudahan pendaratan bot dan penggunaan teknologi moden.
“Saya mahu gunakan pengalaman saya dalam bidang maritim untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta pembangunan ekonomi kepada penduduk Sungai Balang,” katanya.
“Kalau kita tengok di sekitar Muar, memang banyak peluang pekerjaan dan saya yakin potensi di Sungai Balang juga boleh dibangunkan dengan lebih baik,” tambahnya lagi.
Mengulas lanjut beliau berkata, pembangunan berkenaan akan lebih mudah direalisasikan sekiranya wujud keselarasan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Ayna Soraya dikenali sebagai ‘akak kapal’ kerana pengalamannya dalam industri perkapalan serta minyak dan gas sebelum menceburi politik.
Pada PRN Johor 11 Julai ini, Soraya berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Selamat Takim, yang juga penyandang kerusi berkenaan dan Muhammad Amin Sailan mewakili Perikatan Nasional (PN).
BACA JUGA Baru tahu hanya dua negeri ini bayar cukai lebih besar daripada apa mereka dapat