‘Saya pernah minta derma untuk Pas lawan Umno, tapi kini adakah Pas tipu jemaah?’

OLEH DATUK MAHFUZ OMAR

Saya bukan kenal Pas melalui Facebook atau cerita orang. Saya hidup lama dalam Pas. Saya pernah memimpin Pemuda Pas Pusat, menjadi Ketua Penerangan dan Naib Presiden. 

Saya naik dari satu pentas ke satu pentas, berceramah melawan UM dan meminta orang kampung menderma untuk perjuangan.

Saya masih ingat tabung itu bergerak dari tangan ke tangan. Ada pak cik menyeluk poket baju Melayu. Ada mak cik menghulurkan duit hasil berniaga, menoreh getah dan titik peluh sendiri. 

RM1 atau RM10 mungkin kecil nilainya, tetapi besar amanahnya. Mereka memberi kerana percaya Pas sedang melawan rasuah, kezaliman, politik wang dan mempertahankan perjuangan Islam.

Kami tidak pernah berkata, “Derma ini untuk strategi politik. Hari ini Umno musuh, esok kalau kiraan kerusi berubah, Umno boleh menjadi kawan.” Tidak. 

Kami bercakap tentang Islam, jihad dan pengorbanan. Orang kampung memberi kerana percaya kepada prinsip yang kami ajarkan kepada mereka.

Sebab itu saya tidak mahu berpura-pura suci. Saya juga pernah berdiri di atas pentas itu. Saya juga pernah meminta mereka berkorban. 

Kalau ada kata-kata saya dahulu yang keterlaluan, saya turut memikul tanggungjawab di hadapan Allah. 

Tetapi pimpinan Pas hari ini juga jangan mencuci tangan seolah-olah sejarah itu tidak pernah berlaku.

Berapa ramai tok guru, ustaz, pemimpin kawasan, ketua cawangan dan ahli biasa Pas yang sudah meninggal dunia dengan keyakinan bahawa melawan Umno adalah sebahagian daripada mempertahankan perjuangan Islam?

Mereka pergi sebelum sempat diberitahu bahawa Umno yang dahulu wajib ditolak, hari ini diminta dipangkah pula atas nama penyatuan ummah.

Sejak kebelakangan ini, ramai ahli Pas menghubungi saya secara peribadi. Ada yang kecewa, ada yang keliru dan ada yang malu hendak bertanya secara terbuka. 

Mereka bukan membenci Pas. Mereka masih sayangkan Pas. Tetapi mereka mula takut Pas yang mereka pertahankan dahulu sudah tidak sama dengan Pas yang sedang mereka lihat hari ini.

Saya tidak menentukan kedudukan sesiapa di sisi Allah. Itu hak Allah. 

Tetapi pimpinan Pas yang masih hidup wajib menjawab amanah ini. Apa sebenarnya yang sudah berubah? Umn9 yang berubah, atau Pas yang berubah?

Kalau Umno benar-benar sudah berubah, tunjukkan kepada ahli. Rasuah sudah hilang? Politik wang sudah tamat? 

Segala tuduhan yang dahulu dilemparkan dari pentas Pas sudah tidak benar? Kalau Pas yang berubah, mengakulah dengan jujur. Jangan keputusan politik dipakaikan jubah agama supaya ahli tidak berani bertanya.

Saya tidak mempertikaikan Pas mahu bekerjasama dengan Umno. Politik memang boleh berubah. Saya sendiri hari ini berada dalam kerajaan bersama Umno. 

Bezanya, saya tidak mengatakan Umno sudah menjadi parti suci. Saya juga tidak menjadikan kerjasama politik hari ini sebagai hukum agama yang wajib diterima oleh semua orang.

Jangan semua perkara dijawab dengan perkataan ijtihad dan maslahat. Ijtihad bukan pemadam sejarah. Maslahat bukan lesen untuk mengaburi ahli. 

Orang kampung yang pernah memasukkan duit ke dalam tabung perjuangan itu patut diberi jawapan. Mereka bukan alat yang hanya dicari ketika Pas memerlukan wang, undi dan tenaga.

Ahli Pas bukan bodoh. Mereka boleh menerima perubahan politik kalau diterangkan dengan jujur.

Tetapi kalau yang berubah cuma selera politik, perkiraan kerusi dan keinginan mendapatkan kuasa, jangan berlindung di sebalik nama agama.

Saya pernah mengangkat tabung itu. Saya pernah meminta orang kampung berkorban. 

Sebab itu saya bertanya dengan hati yang berat: Adakah kami dahulu benar-benar mengajak rakyat mempertahankan satu prinsip, atau agama hanya digunakan selagi ia menguntungkan politik Pas?

Duit yang masuk ke dalam tabung itu mungkin kecil. Tetapi amanah di belakangnya sangat besar. Sebahagian daripada mereka yang menghulurkannya sudah tidak ada lagi. 

Mereka tidak sempat meminta penjelasan. Kalau pimpinan Pas hari ini juga tidak mampu menjawab, jangan marah apabila ahli mula bertanya: Adakah dahulu mereka benar-benar mempertahankan perjuangan, atau mereka sebenarnya sedang dipergunakan?

BACA JUGA