Tuduh Putrajaya zalim? Anwar dedah data peruntukan negeri pembangkang

Dakwaan kononnya Kerajaan Persekutuan menganaktirikan negeri-negeri tertentu dipatahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau membentangkan angka peruntukan dan hasil cukai negeri-negeri di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, hampir semua negeri menerima peruntukan Persekutuan yang jauh lebih tinggi berbanding hasil cukai yang disumbangkan kepada kerajaan pusat.

“Kalau nak banding, kerajaan MADANI-lah yang memberikan peruntukan tertinggi kepada negeri-negeri seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan berbanding sebelum ini,” katanya ketika menjawab soalan Dato’ Sri Doris Sophia Anak Brodi (GPS-Sri Aman) pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri.

Anwar berkata, tuduhan bahawa ada negeri yang dipinggirkan atau dianaktirikan adalah tidak benar dan tidak berasaskan fakta.

Beliau turut mengambil kesempatan memuji hubungan baik antara Putrajaya dan Sarawak yang menurutnya mencipta sejarah apabila kerajaan negeri itu menyerahkan bayaran tunai RM1.8 bilion kepada Kerajaan Persekutuan susulan rundingan mengenai hak dan pengurusan pelabuhan.

Katanya, kejayaan itu membuktikan bahawa banyak isu antara negeri dan Persekutuan boleh diselesaikan melalui rundingan yang sihat.

Kelantan terima hampir sembilan kali ganda hasil yang dikutip

Bagi menjelaskan perkara itu, Anwar membentangkan beberapa angka melibatkan purata hasil cukai dan perbelanjaan Persekutuan bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Menurut beliau:

  • Kelantan mengutip hasil sekitar RM946 juta, tetapi menerima perbelanjaan Persekutuan sebanyak RM8.9 bilion.
  • Kedah menyumbang hasil sekitar RM3.7 bilion, namun menerima RM9.5 bilion.
  • Terengganu mencatat hasil sekitar RM1.2 bilion, yang meningkat kepada RM2.4 bilion selepas mengambil kira hasil minyak, tetapi menerima RM7.8 bilion.
  • Perlis mengutip sekitar RM419 juta, namun menerima RM2.2 bilion.
  • Johor pula merekodkan hasil sekitar RM14 bilion dan menerima peruntukan kira-kira RM16 bilion.

Beliau berkata, hanya Selangor dan Pulau Pinang menunjukkan keadaan berbeza kerana kedua-dua negeri itu mempunyai kedudukan ekonomi yang strategik dan menyumbang hasil cukai yang tinggi kepada Persekutuan.

Bagi tempoh sama, Selangor menyumbang purata hasil RM43.6 bilion tetapi menerima perbelanjaan Persekutuan sekitar RM15 bilion, manakala Pulau Pinang menyumbang RM10.7 bilion dan menerima RM7.9 bilion.

Anwar menjelaskan penyaluran peruntukan tidak dibuat berdasarkan pertimbangan politik, sebaliknya mengikut keperluan rakyat dan pembangunan.

Antara keutamaan kerajaan, katanya, termasuk projek tebatan banjir, pembinaan dan naik taraf jalan raya, Projek Lebuhraya Pan Borneo, kemudahan air, infrastruktur sekolah serta program pembasmian kemiskinan.

Beliau turut memaklumkan kerajaan meningkatkan beberapa bentuk pemberian kepada negeri seperti Ecological Fiscal Transfer (EFT), pemberian tahap dan capitation grant.

“Saya harap penjelasan ini dapat memadamkan tohmahan dan fitnah yang tidak berasas bahawa negeri-negeri tertentu dipinggirkan atau dianaktirikan,” katanya.

BACA JUGA Syed Saddiq kena tunggu lagi, keputusan kes ditunda dua minggu