PMX ingatkan, AI makin canggih, tapi jangan sampai manusia hilang pertimbangan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa pertimbangan manusia mesti terus menjadi teras dalam setiap proses membuat keputusan walaupun teknologi kecerdasan buatan (AI) berkembang dengan begitu pesat.
Menurut beliau, AI kini bukan lagi sekadar alat teknologi, sebaliknya telah mengubah landskap perniagaan, perdagangan dan sistem kewangan global.
Katanya, teknologi itu kini mempengaruhi pelbagai aspek termasuk penilaian kredit, pengurusan risiko, aliran perdagangan rentas sempadan serta keseluruhan ekosistem ekonomi.
“Namun, dalam mengejar kemajuan teknologi, kita tidak boleh mengorbankan nilai kemanusiaan.
“Pertimbangan berasaskan hikmah, etika dan tanggungjawab mesti terus menjadi tunjang kepada setiap keputusan yang dibuat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata demikian ketika merasmikan Pusat Pembangunan Global (Global Development Centre, GDC) Ant International Kuala Lumpur.
Menurut beliau, keputusan syarikat teknologi antarabangsa itu memilih Malaysia sebagai lokasi GDC adalah selari dengan pelancaran Rangka Tindakan Malaysia Digital 2030 yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Perdana Menteri berkata, pelaburan tersebut membuktikan keyakinan pelabur global terhadap dasar kerajaan, kestabilan politik dan hala tuju ekonomi negara.
“Malaysia bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi muncul sebagai peneraju ekonomi digital yang berdaya saing, inklusif dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat,” katanya.
Penubuhan GDC Ant International di Kuala Lumpur dilihat sebagai satu lagi petunjuk bahawa Malaysia semakin mendapat perhatian syarikat teknologi global yang mahu menjadikan negara ini sebagai hab pembangunan digital dan inovasi serantau.
BACA JUGA Peniaga pasar mengadu terhimpit, calon PH Maharani dedah masalah sistem yang ramai tak sedar