Subsidi cecah RM40 bilion? PM kata harga RON95 RM1.99 masih kekal

Kerajaan dijangka menanggung subsidi produk petroleum hampir RM40 bilion tahun ini sekiranya harga pasaran semasa minyak kekal pada paras sekarang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, peningkatan perbelanjaan subsidi itu membolehkan kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter untuk semua warganegara Malaysia berusia 16 tahun ke atas.

“Kerajaan telah menanggung subsidi hampir RM800 juta sebulan bagi RON95 dan diesel pada Januari dan Februari 2026, sebelum melonjak kepada sekitar RM5 bilion sebulan pada Mac dan April 2026.

“Sekiranya harga pasaran semasa ini kekal, kerajaan dijangka akan menanggung jumlah subsidi produk petroleum hampir RM40 bilion bagi tahun 2026,” katanya.

Kenyataan itu dibuat menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor mengenai jumlah terkini peruntukan subsidi petrol dan diesel.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, subsidi bahan api turut diberikan kepada beberapa sektor strategik dan kritikal bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak dunia.

Antaranya, diesel bersubsidi pada harga RM1.65 seliter diberikan kepada golongan nelayan selain penerima bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dan peserta Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0.

Beliau berkata, bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi turut dinaikkan secara interim daripada RM200 kepada RM400 sebulan bagi membantu lebih 210,000 petani dan pekebun kecil di Semenanjung Malaysia.

Langkah itu diambil susulan peningkatan harga minyak dunia yang dipacu ketegangan geopolitik dan konflik di Asia Barat.

Bas sekolah, logistik Sabah dan Sarawak turut dibantu

Bagi SKDS 1.0, diesel pada harga RM1.88 seliter diberikan kepada sektor pengangkutan awam termasuk bas sekolah dan bas ekspres.

Skim itu juga diperluaskan kepada sektor logistik dan pengangkutan barangan yang layak di Sabah dan Sarawak, membolehkan kenderaan komersial membeli diesel pada harga bersubsidi RM2.15 seliter.

Selain itu, kumpulan sasar tertentu seperti pengusaha bot, pengguna janakuasa dan pam air untuk kegunaan kediaman di kawasan pedalaman turut layak menerima BUDI Diesel melalui mekanisme MyKad, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan kerajaan negeri dan agensi berkaitan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa bekalan petroleum negara ketika ini kekal stabil dan mencukupi, meskipun krisis bekalan global masih berlarutan.

Katanya, kerajaan akan terus memperkukuh langkah keterjaminan bekalan dalam jangka panjang dan memastikan subsidi bersasar dapat diteruskan secara mampan.

“Keutamaan kerajaan adalah memastikan rakyat terus dilindungi sekiranya krisis ini berpanjangan, khususnya kepada golongan yang paling terkesan dengan tekanan kos sara hidup dan kenaikan harga global.

“Kerajaan akan terus memantau kedudukan fiskal dan keupayaan subsidi secara berterusan bagi memastikan bantuan dapat diteruskan secara mampan dan bersasar,” katanya.

BACA JUGA Melayu; anak muda tanya Tun Mahathir kembali