Apa PH nak tawar kepada Johor? Manifesto PRN akan dilancar esok 

Pakatan Harapan (PH) Johor akan melancarkan manifesto rasmi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 menerusi majlis “Manifesto Harapan Johor Untuk Semua” yang dijadual berlangsung esok.

Majlis pelancaran itu akan disempurnakan oleh Ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Amirudin Shari, dan dijangka menjadi antara acara penting dalam kempen PH menjelang hari pengundian.

Menurut jemputan rasmi yang dikeluarkan sekretariat program, majlis berkenaan akan berlangsung pada:

  • Tarikh: 3 Julai 2026 (Jumaat)
  • Masa: 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari
  • Tempat: Ballroom 1, Tingkat 25, New York Hotel, Johor Bahru.

Pelancaran manifesto itu dilihat penting bagi membolehkan PH memperincikan tawaran dan hala tuju gabungan tersebut kepada rakyat Johor sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri.

PRN Johor kali ini disifatkan sebagai antara pilihan raya negeri paling sengit dalam sejarah negeri itu, dengan Pakatan Harapan dijangka menampilkan pelbagai inisiatif berkaitan kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi, kebajikan rakyat serta tadbir urus yang lebih baik.

Setakat ini, kandungan penuh Manifesto Harapan Johor Untuk Semua masih belum didedahkan dan dijangka diumumkan secara rasmi pada majlis pelancaran esok.

Pemerhati politik turut melihat manifesto tersebut sebagai dokumen penting yang bakal menentukan naratif kempen PH dalam usaha merampas semula pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN).

BACA JUGA Laut China Selatan ada isu, tapi bukan medan perang – Anwar