Mohd Khuzzan fokus mahu tangani isu banjir, internet dan ekonomi rakyat Semerah

Calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Khuzzan Abu Bakar mahu memfokuskan pembangunan dan penyelesaian isu asas rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, berteraskan lima agenda utama bagi menyelesaikan isu rakyat.

Menurut beliau, antara isu yang sering dibangkitkan penduduk dalam siri lawatannya ke rumah-rumah ialah masalah banjir kilat yang masih berulang.

Walaupun langkah pernah diambil ketika beliau berkhidmat pada 2018 hingga 2022 bagi mengurangkan kejadian banjir kilat, beliau berkata usaha lanjut masih diperlukan untuk menyelesaikan isu itu secara menyeluruh.

“Mereka minta kita selesaikan masalah banjir kilat yang melanda semula DUN Semerah. Walaupun saya sebagai ADUN pada 2018-2022 dapat meminimumkan banjir kilat, saya akan usahakan untuk selesaikan isu ini,” katanya kepada Harapan Daily.

Selain itu, beliau berkata masalah capaian internet yang telah lama berlarutan turut menjadi antara isu penting yang sedang diketengahkan beliau.

Isu tersebut katanya telah dibangkitkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak 2019, termasuk membawa Pengarah dan Timbalan Pengarah SKMM Johor meninjau keadaan di lapangan.

Beliau memaklumkan, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil telah memberi komitmen bahawa isu tersebut dijangka dapat diselesaikan secara menyeluruh menjelang Disember 2026, namun menegaskan keperluan kepada langkah jangka pendek dalam tempoh tersebut.

Selain itu, fokus Mohd Khuzzan turut merangkumi pembangunan ekonomi setempat termasuk sektor pelancongan makanan, industri kecil dan sederhana (IKS), serta peluang pekerjaan untuk penduduk dan anak muda.

Dalam aspek pembangunan belia, beliau berkata cadangan pembinaan kemudahan seperti mini kompleks sukan atau “sport city” di kawasan Sri Sulong akan diteruskan melalui perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menurutnya, tumpuan keseluruhan kempen adalah untuk menangani isu banjir kilat, meningkatkan capaian internet serta memperkukuh sosioekonomi penduduk setempat.