Onn Abu Bakar yakin gelombang sokongan senyap mampu hadiahkan kemenangan PH di Senggarang

FOTO BERITA: Sidang Media oleh calon Pakatan Harapan N.24 Senggarang YB Onn Abu Bakar selepas Ceramah Mega Jelajah ‘Johor Ke Depan Undi Harapan’ di Tapak Parkir Medan Selera Senggarang Batu Pahat Johor. 1hb Julai 2026 (Rabu)

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.24 Senggarang, Onn Abu Bakar, menyifatkan sambutan luar biasa yang diterima pada Ceramah Mega Jelajah Johor Ke Depan Undi Harapan sebagai petanda positif menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.

Beliau berkata kehadiran orang ramai yang memenuhi tapak ceramah di Medan Selera Senggarang membuktikan sokongan akar umbi semakin meningkat, selain memberi keyakinan kepada PH untuk mencatat kemenangan di kawasan itu.

“Saya mengucapkan tahniah kepada seluruh urus setia yang berjaya mengendalikan program malam ini. Kehadiran yang begitu ramai terdiri daripada penduduk tempatan Senggarang, Rengit dan kawasan sekitar menunjukkan sokongan yang amat menggalakkan,” katanya pada sidang media selepas Ceramah Mega Jelajah Johor Ke Depan Undi Harapan di Tapak Parkir Medan Selera Senggarang, di sini, malam Rabu.

Onn turut merakamkan penghargaan kepada pimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH), DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), termasuk Ahli Parlimen Pasir Gudang serta Menteri Besar Selangor yang hadir menyampaikan ucapan dan memberi suntikan semangat kepada jentera serta penyokong PH.

Menurut beliau, pengalaman PH mentadbir negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang membuktikan gabungan itu mempunyai keupayaan membawa pentadbiran yang lebih baik kepada Johor sekiranya diberi mandat.

“Saya yakin pengalaman mentadbir di Selangor dan Pulau Pinang mampu membantu membangunkan Johor dengan lebih baik,” katanya.

Beliau turut mendedahkan menerima pelbagai mesej sokongan setiap hari daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pendidik, imam masjid dan ketua kampung yang mendoakan kejayaannya pada hari pengundian.

“Saya tidak sangka sokongan yang diterima begitu luar biasa. Ramai yang memberi sokongan secara senyap melalui WhatsApp dan saya berharap sokongan ini diterjemahkan kepada undi pada 11 Julai nanti,” katanya.

Onn yang pernah aktif menyantuni masyarakat di seluruh Parlimen Batu Pahat berkata hubungan baik yang telah dibina sejak sekian lama memudahkannya mendekati pengundi di Senggarang sepanjang tempoh kempen.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa pengundi yang berada di luar Johor, khususnya mereka yang bekerja di Singapura, supaya pulang mengundi bagi menentukan masa depan negeri.

“Saya berharap anak-anak Johor yang berada di Singapura dapat pulang beramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada 11 Julai nanti,” katanya.

Mengulas dakwaan berhubung kelewatan pembayaran kepada jawatankuasa masjid bagi pelaksanaan Program Semarak Subuh Johor, Onn berkata beliau belum menerima sebarang aduan rasmi mengenai perkara itu. Bagaimanapun, beliau menegaskan sekiranya dakwaan tersebut benar, pembayaran kepada pihak yang terlibat perlu diselesaikan segera.
