‘Penyatuan ummah’ cuma perangkap kuasa, Bersatu mangsa terbaru politik tikam belakang
Slogan penyatuan ummah yang sering dilaungkan dalam politik Melayu bukan benar-benar untuk membela rakyat Melayu biasa, sebaliknya lebih berkisar kepada percaturan elit politik bagi merebut kuasa.
Bekas Peguam Kanan Persekutuan di Bahagian Penasihat, Jabatan Peguam Negara (AGC), Liyana Marzuki berpendapat perkembangan politik semasa menunjukkan laungan penyatuan itu semakin jelas bersifat terpilih dan hanya digunakan apabila ia menguntungkan pihak tertentu.
Menurut aktivis berkenaan, apabila Pemuda Umno melaungkan semula Muafakat Nasional (MN), ia tidak kelihatan seperti usaha menyatukan semua parti Melayu secara jujur.
Sebaliknya, kata pengendali podcast ‘Jangan Pajak Otak’ itu, ia dilihat sebagai pinangan politik kepada parti dalam gabungan lain untuk mengkhianati sebuah lagi parti Melayu.
“Jelas, terang dan nyata. Bila Pemuda Umno melaung Muafakat Nasional bukan untuk menyatukan semua parti Melayu, ia pinangan kepada parti dalam lain gabungan untuk khianat parti Melayu lagi satu.
“Mangsa terbaru tikam-menikam politik Melayu adalah Bersatu,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau malam ini.
Terlalu selektif
Liyana berpendapat konsep muafakat yang dilaungkan dalam politik Melayu hari ini akhirnya menjadi terlalu selektif, bergantung kepada sejauh mana ia membuka laluan kepada kuasa.
Kata bekas Pegawai Khas kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu, parti-parti Melayu hanya kelihatan mahu bersatu apabila penyatuan itu menjadi jambatan menuju kuasa, namun apabila sesuatu pihak tidak lagi berguna, ia akan diketepikan.
“Makanya laungan ‘muafakat’ itu selektif. Aku untuk aku. Kamu untuk kamu.
“Kita hanya perlu bersatu, kalau ia langkah menuju kuasa. Kalau sudah tak berguna, habis madu sepah dibuang kekdahnya,” katanya.

Dalam masa sama, Liyana turut memberi amaran bahawa sejarah politik negara menunjukkan setiap kali Pas bergabung atau menyatu dengan parti lain, parti yang bekerjasama dengannya berisiko menjadi lemah atau akhirnya ‘cancel out’.
Beliau berkata, hal ini berlaku kerana medan perebutan sokongan Pas bukan dalam kalangan pengundi Cina atau DAP, sebaliknya dalam kolam pengundi Melayu dan Islam yang turut menjadi sasaran Umno serta Bersatu.
“Kita juga perhatikan dalam sejarah, setiap kali Pas menyatu dengan parti lain, mereka cancel out parti satu lagi.
“Kerana kolam undi mereka bukan pengundi Cina DAP. Kolam mereka adalah sesama sendiri,” hujah beliau.
Prestasi pentadbiran
Menurut Liyana, selepas lebih 70 tahun ditubuhkan, Pas kini muncul sebagai parti yang memiliki jumlah kerusi paling tinggi di Parlimen, walaupun prestasi pentadbiran di negeri-negeri yang dikuasainya sering dipersoalkan.
Beliau berkata, negeri seperti Terengganu, Kedah dan Perlis yang suatu ketika dahulu merupakan kubu kuat Umno kini satu demi satu jatuh ke tangan Pas.
Katanya, perubahan itu berlaku kerana Umno masih banyak bergantung kepada corak politik bangsawan, manakala Pas pula menggerakkan politik agama yang lebih sukar ditandingi dalam segmen pengundi tertentu.
“Kerana UMNO menggunakan corak politik bangsawan, dan PAS gunakan politik agamawan.
“Dalam sejarah kita saksikan, modal politik agama ini sukar ditumpaskan,” ujarnya.
Liyana menambah, ramai pemerhati politik menjangkakan Pas akan terus mengukuh dalam tempoh 10 tahun akan datang, manakala Umno pula berdepan risiko semakin melemah jika pola politik semasa berterusan.
Beliau turut membangkitkan persoalan lebih besar mengenai hala tuju negara sekiranya Malaysia akhirnya dipimpin melalui pendekatan kepimpinan ulama acuan Pas.
Katanya, perkara itu perlu difikirkan secara serius memandangkan komposisi rakyat Malaysia bukan hanya terdiri daripada orang Melayu Islam, sebaliknya turut merangkumi kelompok bukan Melayu dan bukan Islam yang besar.
“Bacaan ramai pemerhati politik, dalam 10 tahun Pas akan makin kuat, Umno akan makin melemah.
“Dan Malaysia akhirnya akan mendapat kepimpinan melalui ulama.
“Tepuk dada tanya selera. Adakah ini yang diperlukan oleh Malaysia apabila bukan Melayu Islam ialah 42 peratus dari kita semua?” kata Liyana lagi.