Ada akaun palsu guna wajah calon sebar fitnah, SKMM pantau rapat kempen PRN Johor
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang memantau rapat sebarang bentuk penyebaran maklumat palsu berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Menurutnya, terdapat cubaan mewujudkan akaun palsu menggunakan wajah calon bagi menyebarkan fitnah.
Beliau turut kesal dengan beberapa insiden khianat fizikal termasuk tindakan merosakkan bendera dan papan iklan calon yang disifatkannya sebagai fasa kempen tidak sihat dan kuno.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengundi supaya sentiasa berwaspada terhadap taktik sabotaj digital sepanjang tempoh kempen PRN kali ini.
“Saya berharap para pengundi juga cakna. Bukan semua yang disebarkan itu adalah maklumat yang betul ataupun tepat. Sahkan maklumat yang kita terima.
“Saya belum mendapat maklumat terkini daripada SKMM mengenai jumlah kandungan yang telah dikenal pasti untuk diturunkan berkaitan maklumat palsu atau election misinformation.
“Namun, semua platform telah memaklumkan bahawa election misinformation merupakan satu bentuk pelanggaran garis panduan komuniti platform,” katanya.
Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam amal di sebuah restoran di Muar malam tadi.
Dalam masa sama, beliau turut menegaskan perbuatan menggunakan unsur gengsterisme fizikal bagi menakut-nakutkan jentera parti mahupun orang ramai perlu dihentikan segera demi memastikan amalan demokrasi negara berjalan dengan harmoni.
PRN Johor memperlihatkan pertembungan utama antara PH dan BN, manakala PN, Pas dan Bersatu lebih dilihat sebagai faktor pemecah undi yang boleh mempengaruhi keputusan di kerusi-kerusi tertentu.
BN dan PH masing-masing mempertaruhkan 56 calon manakala PN (33), Bersama (15), Muda (empat), Parti Orang Asli Malaysia (Asli) (satu), Parti Sosialis Malaysia (PSM) (satu) serta enam calon Bebas.
PRN Johor dijadual berlangsung pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal akan diadakan pada 7 Julai.
BACA JUGA Waspada kemunafikan Barat, henti berkiblatkan polisi mereka