Johor bukan untuk kroni, Dr Maszlee pertegas manifesto PH lahir dari suara rakyat
Pakatan Harapan (PH) Johor menegaskan manifesto yang diluncurkan hari ini bukan dokumen politik yang disediakan secara syok sendiri, sebaliknya lahir daripada suara dan keluhan rakyat di seluruh negeri itu.
Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berkata, manifesto bertemakan Johor Untuk Semua itu dibina berdasarkan realiti kehidupan rakyat Johor.

Ia termasuk anak muda, ibu bapa muda, pekerja yang berulang-alik ke Singapura, usahawan kecil, warga Felda, penduduk desa dan bandar serta golongan orang kurang upaya (OKU).
Menurut beliau, PH membawa tekad kolektif yang berpaksikan harapan rakyat Johor untuk melihat sebuah kerajaan negeri yang lebih cekap, bersih, rendah diri dan benar-benar peduli terhadap nasib rakyat.
“Hari ini kita melancarkan sebuah tekad kolektif yang lahir daripada harapan segenap rakyat Johor.
“Manifesto ini bukan disediakan secara syok sendiri di dalam bilik berhawa dingin semata-mata.
“Ia lahir dari suara rakyat kerana Pakatan Harapan merupakan parti rakyat, membawa suara rakyat, hidup bersama dengan derita rakyat dan membawa keluh kesah rakyat,” katanya semasa membentangkan 10 tawaran utama Johor Untuk Semua hari ini.

Gaji lebih baik
Dr Maszlee, 51, berkata, manifesto itu turut mengambil kira keresahan anak muda Johor yang masih mencari pekerjaan dengan gaji lebih baik tanpa perlu melintasi Tambak Johor seawal jam 5 pagi.
Jelasnya, ia juga lahir daripada suara ibu bapa muda yang semakin sukar memiliki rumah pertama, usahawan kecil yang mahu berkembang serta pekerja yang setiap hari berulang-alik ke Singapura demi mencari rezeki lebih baik.
Bekas Menteri Pendidikan itu menegaskan, gagasan Johor Untuk Semua membawa mesej bahawa pembangunan negeri tidak boleh hanya dinikmati oleh kelompok tertentu.
“Sebab itu, manifesto ini temanya amat jelas, Johor Untuk Semua.
“Johor bukan untuk segelintir. Johor bukan untuk kroni. Johor bukan untuk golongan kayangan.
“Bukan juga Johor yang maju di satu sudut tetapi ketinggalan di tempat-tempat lain,” tegas mantan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.

Empat tiang utama
Menurut Dr Maszlee, PH mahu memastikan kemajuan Johor dikongsi secara adil, dirasai oleh rakyat biasa dan masa depan negeri dijamin untuk semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata, manifesto PH Johor dibina atas empat tiang utama yang menjadi asas kepada kehidupan rakyat, bermula dengan pekerjaan bermaruah.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dan Ketua Cabang PKR Simpang Renggam itu berkata, PH tidak mahu anak-anak Johor terus meninggalkan negeri sendiri hanya kerana tiada peluang pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan mereka.
“Kita mahu mereka membina masa depan di negeri mereka sendiri,” katanya.
Tiang kedua, jelas beliau, ialah rumah mampu milik, dengan komitmen memastikan impian rakyat Johor, khususnya pasangan muda dan keluarga muda, untuk memiliki kediaman sendiri dapat direalisasikan.
Maszlee berkata, tiang ketiga ialah kehidupan sejahtera, merangkumi usaha memastikan kemajuan ekonomi diterjemahkan kepada kos sara hidup yang lebih terkawal, pendidikan yang lebih baik, kesihatan lebih terjamin, pengangkutan lebih mudah serta infrastruktur yang selamat dan mensejahterakan rakyat.
Tiang keempat pula ialah kerajaan berintegriti, yang menurut beliau menjadi syarat penting bagi memastikan hasil negeri benar-benar kembali kepada rakyat.
“Tanpa integriti, sebesar mana pun hasil negeri, rakyat tidak akan benar-benar menikmati manfaatnya,” kata Dr Maszlee lagi.
BACA JUGA 10 tawaran utama Johor Untuk Semua