Mahkamah arah Chegubard henti terbit kenyataan fitnah

Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan tidak membenarkan aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard untuk menerbit sebarang kenyataan berunsur fitnah terhadap seorang pegawai kanan tentera di media sosial.

Hakim Mahkamah Tinggi Roslan Mat Nor memutuskan demikian, selepas membenarkan permohonan interim injunksi plaintif dalam kes samannya terhadap Chegubard pada prosiding Selasa lepas, menurut Bernama.

Peguam mewakili Mejar Jeneral Faridhulathroth Hashim selaku plaintif berkata, mahkamah turut mengarahkan supaya semua penerbitan dibuat Chegubard disembunyikan.

“Perintah interim yang berkuat kuasa sehingga saman berkenaan diputuskan, menghalang Badrul Hisham atau wakilnya daripada menerbitkan, menerbitkan semula, menyebarkan atau terus menyebarkan sebarang kenyataan, imej atau rujukan berkaitan plaintif, kecuali jika perlu bagi tujuan prosiding mahkamah.

“Mahkamah turut mengarahkan supaya semua penerbitan dan rujukan dalam talian yang berada di bawah kawalan defendan disembunyikan, selain memerintahkan defendan membayar kos RM3,000 kepada plaintif,” katanya memetik Bernama hari ini.

Faridhulathroth, 52, yang merupakan Asisten Ketua Staf Perisikan, Cawangan Perisikan Markas Tentera Darat memfailkan saman pada 21 April, mendakwa Chegubard telah menerbitkan enam kenyataan berbaur fitnah yang di Facebook miliknya antara 31 Disember 2025 hingga 17 Januari, berhubung kegiatan jenayah dan salah laku plaintif.

Plaintif mendakwa kenyataan itu antaranya membawa maksud beliau dalang atau orang penting dalam aktiviti rasuah pada peringkat tertinggi Tentera Darat dan jawatan plaintif dalam perisikan telah digunakan bukan untuk keselamatan negara, tetapi untuk melindungi kepentingan peribadi pihak atasan berkaitan urusan aktiviti haram