Bila BN sangat berharap menang besar untuk membebaskan Najib…
OLEH ZULQARNAIN LUKMAN
Pilihan raya Johor 2026 ini walaupun tidaklah begitu banyak penjuru seperti pilihan raya Sabah 2025, namun ianya tetap di luar norma kebiasaan pilihan raya di Semenanjung.
Pasca kejatuhan BN pada tahun 2018 sudah menunjukkan banyak perubahan berlaku dari segi tabiat pengundi dan tabiat parti politik.
Jika sebelum ini, ada orang berkata jika letak topi pun atas logo parti tertentu, sudah pasti parti itu akan menang. Zaman sebegitu sudah banyak berubah.
Parti politik pun sudah sedar perubahan ini dan kini kita dapat lihat kebanyakan parti politik sudah berani meletakkan calon muda, manis, segar dan sedap dipandang berbanding dahulu kebanyakan yang menjadi calon adalah calon yang sudah pencen dan veteran.
Pilihan raya Johor ini menarik perhatian kerana ianya adalah pilihan raya pertama di Semenanjung yang akan menguji di antara populariti kerajaan Madani dan ratib harian pembangkang terhadap Anwar Ibrahim serta DAP.
Sudah pasti, pilihan raya Johor ini tumpuan diberikan kepada sama ada PH mampu membuat come back pasca Langkah Sheraton atau BN mampu mempertahankan mandat sekurang-kurangnya 40 kerusi.
Parti PN dilihat masih lagi berkecamuk akibat perang saudara Bersatu dan Pas. Manakala, parti Bersama dan parti PSM dilihat agak sukar untuk meraih keyakinan pengundi.
Soalnya apakah yang rakyat Johor mahu? BN membawa naratif bahawa Onn Hafiz telah berjaya mengemudi bahtera negeri dengan baik.
PH pula membawa naratif kestabilan dan kesepakatan yang selari dengan Persekutuan. Manakala, PN-Pas masih lagi membawa ratib anti DAP dan teraju pemerintahan Melayu-Islam.Â
Banyak yang diperkatakan adalah bahawa BN mampu untuk menang besar kerana negeri Johor dilihat semakin membangun dan kenaikan KDNK yang ketara.
Onn Hafiz selaku poster boy juga mempunyai reputasi yang baik sepanjang beliau menjadi Menteri Besar.
Yang agak pelik bagi BN adalah kenapakah mereka memilih jalan sukar untuk kekal mentadbir negeri.
Padahal jika BN itu boleh berunding dengan PH untuk masuk pilihan raya ini secara sepakat dengan mengambil semangat kerajaan Perpaduan di Persekutuan, sudah hampir pasti pilihan raya ini akan dapat mengekalkan Onn Hafiz sebagai Menteri Besar.
PRK Dun Mahkota tempoh hari adalah bukti bagaimana penyokong PH boleh mengundi BN kerana majoriti yang diperolehi Adun BN di Mahkota itu melonjak tinggi daripada 5000 undi kepada 20,000 undi.
Jalan yang diambil BN untuk bertanding secara solo ini adalah jalan yang mempunyai banyak risiko.
BN sendiri tahu bahawa kemenangan besar mereka tempoh hari adalah kerana masalah covid yang menyebabkan ramai pengundi Cina dan India tidak turun mengundi.
Berbanding pada hari ini faktor tersebut sudah tidak wujud lagi dan sudah pasti jumlah pengundi Cina dan India akan lebih meningkat berbanding pilihan raya Johor sebelum ini.
Jika dilihat dari sudut itu, menyerlahkan sikap BN Johor yang tidak selari dengan BN Pusat.
Sekarang ini nampak sudah terbalik, BN Pusat seakan-akan terpaksa mengiyakan kehendak BN Johor.
Pepatah lama menyebut, ‘jangan kerana inginkan untung secupak tetapi rugi segantang’. Pepatah Inggeris menyebut, ‘penny wise, pound foolish’.
Sokongan kepada BN isyarat rakyat mahu kebebasan Najib
Hari ini timbul pula kenyataan Nazifuddin Najib, anak DS Najib yang menyatakan bahawa kemenangan besar BN di Johor akan membawa kepada pembebasan Najib.
Katanya, ‘Kalau BN menang besar, ia menjadi isyarat bukan sahaja rakyat Johor menyokong BN dan kepimpinan negeri, tetapi mereka juga masih sayangkan ‘Bossku’ dan mengharapkan beliau dapat bersama semula dengan rakyat.’
Pelik dengan kenyataan sebegini sedangkan Najib masih merayu di Mahkamah Rayuan terhadap penghakiman 1MDB.
Najib sebelum ini hanya berusaha untuk mendapatkan tahanan rumah mengenai isu Titah Addendum. Tetapi itu hanya berkaitan dengan sabitan kes SRC dan bukannya kes 1MDB.
Jadi, maknanya BN sangat berharap supaya mereka mendapat mandat besar bagi membebaskan Najib yang sudah melakukan kecurangan besar wang negara yang mana beratus juta wang negara telah masuk ke dalam akaun peribadinya sendiri.Â
Adakah rakyat Johor boleh bersetuju dengan kegiatan sakau berjuta-juta ini?
Sebab itu, PH mempunyai alasan kukuh untuk kestabilan politik dan kemajuan ekonomi maka PH dilihat berpotensi untuk meraih undi rakyat Johor. BN sendiri telah menghantar pelbagai mesej yang berbeza-beza.
Satu perkara lagi yang merisikokan adalah mengenai ketiadaan mana-mana parti memperoleh majoriti kerusi. Katakan BN hanya memenangi 25 kerusi, PH pun 25 kerusi dan parti PN-Bersatu menang 3 kerusi dan PN-Pas menang 3 kerusi.
Adakah akan wujud kestabilan kerajaan jika BN membentuk kerajaan negeri dengan PN-Bersatu dan PN-Pas? Onn Hafiz sendiri mengatakan BN tidak akan menerima DAP.
Jadi, kita harapkan pengundi Johor dapat berfikir semasak-masaknya. Apa yang penting adalah rakyat Johor jangan mensia-siakan undi anda. Anda mesti turun mengundi kerana setiap undi adalah amat penting untuk masa depan anda.